Empat keluarga dakwa ditipu syarikat umrah tawar pakej RM6,550
MELAKA - Kira-kira 21 bakal jemaah umrah daripada empat keluarga mendakwa mengalami kerugian lebih RM100,000 selepas ditipu syarikat pengendali umrah yang menawarkan pakej murah dengan bayaran RM6,550 seorang.
Salah seorang mangsa yang juga penjawat awam dari Taman Cempaka Peringgit, Mastura Ab Ghani, 59, memberitahu tidak menyangka perkara itu berlaku memandangkan beliau lima beranak yakin dengan syarikat berkenaan kerana baharu sahaja menggunakan perkhidmatan sama ke tanah suci Makkah pada Ogos tahun lalu, sehingga bersetuju mengambil pakej umrah khas alumni ditawarkan syarikat tersebut untuk tujuan umrah kali kedua.
Bagaimanapun menurutnya, hasrat untuk menunaikan umrah bersama tiga orang anak menerusi pakej khas itu tidak kesampaian apabila syarikat terbabit beberapa kali menangguhkan tarikh penerbangan bermula Februari lalu, dan lebih menyedihkan bayaran penuh dibuat sejak tahun lalu juga belum dikembalikan sehingga kini.
Bukan itu sahaja, Mastura turut memberitahu bahawa wakil syarikat terbabit yang diwakili individu dikenali sebagai 'haji' juga gagal dihubungi.
"Selepas pulang dari umrah, kami ditawarkan satu pakej umrah khas alumni oleh syarikat itu dan setelah berbincang kami bersetuju memandangkan harga yang dikenakan begitu yang rendah.
"Setelah melangsaikan bayaran sebanyak lima kali berjumlah RM31,250, kami dijanjikan akan ke tanah suci pada 13 Februari lalu, namun syarikat tidak menepati janji dan memberikan pelbagai alasan," katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Japerun Ayer Keroh di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.
Mengulas lanjut Mastura berkata, selepas insiden tersebut beliau sekeluarga cuba meminta wang mereka dikembalikan, namun sehingga kini syarikat yang beralamat di Cheng gagal berbuat demikian.
Seorang lagi mangsa, Shuhada Mokhtar, 42, yang bekerja sendiri berkata, beliau sedih apabila impiannya dan suami untuk membawa ibu bapa semakin uzur mengerjakan umrah hancur selepas didakwa diperdaya syarikat terbabit.
Beliau meluahkan rasa kecewa kerana bertahun-tahun membuat simpanan bersama suami memberitahu, mereka bukan sahaja tidak dapat mengerjakan ibadah umrah, malah wang bayaran lebih RM59,000 belum dikembalikan.
"Hancur luluh harapan orang tua kami dan kalau tak dapat pergi, kembalikan wang kami agar kami dapat pergi dengan syarikat lain.
"Disebabkan rasa tertipu, kami juga telah membuat laporan polis dan memanjangkan hal kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia supaya kami dapat wang kami semula," katanya.
Sementara itu, Chee Yee berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba melakukan penipuan lebih-lebih lagi membabitkan jumlah kerugian tinggi.
"Kita juga terima kasih kepada mereka yang berani tampil untuk memberi peringatan kepada orang agar berhati-hati dan berwaspada dengan pakej umrah yang ditawarkan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28