Tergamak hancurkan hati jemaah umrah

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

BARU-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PRDM) mendedahkan, sebuah syarikat pelancongan melakukan penipuan pakej umrah melibatkan 1,614 jemaah di seluruh negara bermula 1 Januari hingga 28 November lalu melibatkan jumlah kerugian lebih RM14 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata, sebanyak 21 kertas siasatan dibuka.

Hasil siasatan polis, penipuan tersebut dilakukan bagi ‘menampal’ segala kekurangan kos pakej dengan menggunakan duit jemaah.

Misalnya, syarikat itu menggunakan bayaran jemaah kumpulan A sebagai pusingan modal apabila kos penerbangan jemaah kumpulan B tidak mencukupi.

Kemudian syarikat menggunakan bayaran jemaah kumpulan C untuk menampung kos jemaah kumpulan B pula.

Berikutan itu, lesen operasi syarikat berkenaan telah digantung bermula 10 Julai 2023 hingga 9 Januari 2024 selain syarikat dan pengarahnya disenaraihitamkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Sementara itu, sebanyak 229 laporan polis berkaitan syarikat berkenaan telah dirujuk ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM), manakala lima laporan dirujuk ke Mahkamah Majistret bagi tuntutan sivil.

Itu baru penipuan satu syarikat pengendali umrah terhadap jemaah. Sebenarnya ada banyak lagi syarikat pengendali umrah dikesan melakukan perkara sama.

Artikel Berkaitan:

Ini berdasarkan kenyataan Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan Motac, Roslan Mohammad yang mendedahkan bahawa kes penipuan haji dan umrah di seluruh negara meningkat secara mendadak berbanding tahun lalu.

Kegiatan penipuan mula bertambah sejak sempadan negara dibuka luas dua tahun lepas susulan peralihan daripada era pandemik Covid-19.

Sepanjang tahun lepas, sebanyak 127 laporan polis telah diterima di seluruh negara dengan nilai kerugian kasar dianggarkan mencecah kira-kira RM6.1 juta.

Angka itu belum lagi termasuk sejumlah 161 kes diterima TTPM merekodkan sebanyak RM2.9 juta dari segi nilai tuntutan.

Sementara untuk tahun ini sehingga hujung Oktober sahaja, tribunal berkenaan sudah menerima tuntutan bernilai RM7.09 juta membabitkan 355 kes.

Kes penipuan umrah ini tidak seharusnya dipandang ringan.

Jumlah penipuan melibatkan nilai jutaan ringgit menakutkan bakal jemaah lain yang mahu mengerjakan ibadah di Tanah Suci.

Kisah jemaah umrah terkandas, gagal diterbangkan ke Tanah Suci dan duit bayaran lesap antara yang pernah dipaparkan di akhbar-akhbar dan media sosial.

Pelik juga, bagaimana syarikat pengendali umrah ini tergamak mengambil kesempatan dengan mereka yang mahu beribadat kepada ALLAH.

Bayangkan, bagaimana susahnya orang kampung yang sanggup menjual tanah, menggadai harta benda, tetapi lebur begitu sahaja.

Malah hajat untuk beribadat di tanah Suci juga tak kesampaian.

Apakah sudah hilang rasa empati dalam diri manusia sehingga sanggup merembat duit jemaah.

Justeru, kerajaan menerusi Motac perlu melakukan sesuatu agar penipuan umrah ini tidak terus berleluasa.

Bukan sahaja perlu cari jalan penyelesaian, malah hukuman tegas terhadap syarikat yang menipu bakal jemaah.

Sudah tentu kita tidak mahu bakal jemaah umrah berterusan menjadi mangsa pihak yang mahu mengaut keuntungan.

Namun begitu, bakal jemaah juga perlu lebih berhati-hati dalam memilih syarikat pengendali umrah agar tidak terperangkap.

Semak dulu latar belakang syarikat termasuk menerusi laman sesawang rasmi Motac yang menyenaraikan syarikat yang melanggar Akta Industri Pelancongan 1992.

Bahkan, sebenarnya terdapat banyak syarikat pengendali umrah yang masih boleh dipercayai di negara ini dan mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam membawa jemaah ke Tanah Suci.

Penulis sendiri pernah berpengalaman menjadi salah seorang daripada 62 mangsa jemaah umrah yang terkandas di Jakarta pada Februari lalu.

Puncanya, syarikat pengendali umrah tersebut membeli tiket pergi sehala tanpa membeli tiket pulang.

Sebab itu penulis tahu bagaimana remuknya hati dan perasaan bakal jemaah umrah apabila impian mereka menjejak kaki ke Tanah Suci tidak kesampaian.

* Hamizah Basir ialah penulis kandungan komersial di Sinar Harian.