Berhenti kerja jaga isteri strok, anak pramatang

Azampazli kini memberi sepenuh perhatian untuk menjaga isterinya yang kini menerima rawatan pemulihan di PKKN selain anaknya, Puteri Ayla Alyssa (gambar kecil) yang dilahirkan pramatang.
Azampazli kini memberi sepenuh perhatian untuk menjaga isterinya yang kini menerima rawatan pemulihan di PKKN selain anaknya, Puteri Ayla Alyssa (gambar kecil) yang dilahirkan pramatang.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang suami terpaksa berhenti kerja demi menjaga isterinya yang strok separuh badan dan anak perempuan mereka yang dilahirkan pramatang.

Azampazli Ismail, 39, berkata, keputusan itu diambil untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada isterinya, Nor Adyla Ahmad, 32, dan anak mereka, Puteri Ayla Alyssa Azampazli, berusia enam bulan.

Dia yang sebelum ini bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang memberitahu, tumpuannya kini untuk menjaga isteri tercinta yang kini terlantar di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), Sungai Buloh.

"Saya nekad berhenti kerja untuk menjaga isteri dan anak kami yang memerlukan penjagaan rapi," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Azampazli, kehidupannya berubah dalam sekelip mata apabila isterinya tiba-tiba jatuh pengsan sebaik keluar dari kereta mereka semasa pulang bercuti Tahun Baharu Cina pada 9 Mac lalu.

"Isteri pada mulanya dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Luluh hati saya apabila pegawai perubatan yang merawatnya mengesahkan isteri mengalami pendarahan beku di kepala," ujarnya.

Dia memberitahu, akibat kejadian itu, Nor Adyla terpaksa menjalani pembedahan tempurung kepala sebelah kiri yang menyebabkan bahagian badan kanannya itu tidak boleh bergerak.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, wad di PKKN bagaikan rumah keduanya untuk melawat isteri dan menguruskan segala keperluannya.

"Selagi ada kudrat saya akan jaga amanah ini dengan sebaik-baiknya kerana inilah ujian yang ALLAH beri untuk kami harungi bersama," jelas Azampazli.

Katanya, isterinya sebelum ini bekerja sebagai guru di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Pulau Pinang seorang yang aktif dan periang.

"Kami menetap di Pulau Pinang dan berhasrat untuk pindah ke Teluk Intan, Perak kerana sudah membeli rumah di sana.

"Namun, segalanya berubah apabila isteri terlantar dan mengalami masalah hilang ingatan selain badan semakin kurus akibat penyakitnya," tambahnya.

Ujar Azampazli, dia kini menumpang rumah ibunya di Kampung Bestari Jaya, di sini bagi memudahkan urusan melawat isteri dan penjagaan anak.

"Saya perlu berulang-alik menjaga isteri di PKKN, manakala ibu pula membantu menjaga anak kami yang masih bergantung susu formula," katanya.

Katanya, sebelum ini, dia dan isteri juga diuji apabila anak mereka yang dilahirkan pramatang terpaksa diletakkan di dalam inkubator di Hospital Pulau Pinang.

"Sebelum ini, anak kami di hospital, kini isteri pula menjalani rawatan pemulihan dan saya reda dengan dugaan ini.

"Buat masa ini, keutamaan saya untuk menjaga isteri hingga pulih dan saya tidak berhenti berdoa kepada ALLAH," ujarnya.

Azampazli turut mengakui banyak cabaran perlu ditempuhinya, namun dia cekalkan hati demi isteri dan anak tersayang.

"Saya berdepan kekangan kewangan kerana tiada sumber pendapatan, lebih-lebih lagi perbelanjaan dan kos hidup tinggi terutama untuk membeli barangan keperluan termasuk lampin pakai buang serta perbelanjaan harian," tambahnya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubunginya di talian 012-934 8503 atau boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank atas nama Azampazli Ismail.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!