Terjemahan al-Quran dalam bahasa Dusun pertama di dunia dilancar

Juhar (empat dari kiri) menyempurnakan Majlis Pelancaran Terjemahan Al-Quran Dusun dan Penterjemahan Empat Bahasa Etnik di Kota Kinabalu.
Juhar (empat dari kiri) menyempurnakan Majlis Pelancaran Terjemahan Al-Quran Dusun dan Penterjemahan Empat Bahasa Etnik di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Usaha Kumpulan Karangkraf dalam siri penerbitan al-Quran diteruskan dengan mendanai sebahagian kos percetakan naskah kalam yang pertama kali di dunia diterjemahkan dalam bahasa etnik Dusun Sabah.

Pengurus Hal Ehwal Agama dan Penerbitan Al-Quran Kumpulan Karangkraf, Ahmad Yani Abd Manaf berkata, al-Quran terjemahan dalam bahasa Dusun itu merupakan terbitan yang terbaharu dibawa oleh Kumpulan Karangkraf kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurutnya, perbezaan al-Quran yang diterbitkan Kumpulan Karangkraf kali ini dengan yang lain ialah terdapatnya inovasi yang dilengkapkan dengan tajwid berwarna dan waqaf ibtida menjadikan ia sangat indah dan menarik bagi memudahkan orang ramai membacanya.

"Selain itu, Kumpulan Karangkraf juga adalah yang menggerakkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan disitu ada kempen baca, faham dan amal al-Quran dan ini kita sangat sokong kerana turut membantu etnik Dusun untuk membaca, faham serta amal Quran.

"Sebab itu di peringkat awal penerbitan ini selain kita membantu menguruskan dengan pihak berkuasa KDN dan Jakim, kita juga mendanai sebahagian projek ini melalui WUIF di bawah Datuk Hussamuddin Yaacub yang bermurah hati untuk kita keluarkan dana bagi projek ini.

"Sebab itu kita sangat rapat dengan KDMRS (Persatuan Kadazan, Dusun, Murut, Rungus dan Sungai) kerana usaha kita bukan hanya menyediakan mushaf al-Quran malah dana untuk percetakan iaitu kita cetak di tempat kita di Shah Alam dan kita tanggung sebahagiannya sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) kita," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Juhar (tiga dari kanan) bersama wakil Kumpulan Karangkraf, Muhammad Nasir (dua dari kanan) dan Ahmad Yani (kanan) selepas menghadiri Majlis Pelancaran Terjemahan Al-Quran Dusun dan Penterjemahan Empat Bahasa Etnik di Kota Kinabalu.
Juhar (tiga dari kanan) bersama wakil Kumpulan Karangkraf, Muhammad Nasir (dua dari kanan) dan Ahmad Yani (kanan) selepas menghadiri Majlis Pelancaran Terjemahan Al-Quran Dusun dan Penterjemahan Empat Bahasa Etnik di Kota Kinabalu.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Pelancaran Terjemahan Al-Quran Dusun dan Penterjemahan Empat Bahasa Etnik yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahirudin.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama pada program itu ialah Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam; Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif KDRMS Muslim, Nicholas Sylvester dan Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Muhammad Nasir dalam pada itu berkata, Karangkraf terbuka untuk membantu dalam penerbitan al-Quran bukan sahaja dalam bahasa Dusun tetapi juga bahasa lain yang bertujuan untuk menyampaikan Quran ini kepada ummah.

"Kita sebelum ini tidak ada akses dengan persatuan ini tapi jika mereka memerlukan bantuan, kita boleh juga bantu termasuk dalam unit multimedia," katanya.

Sementara itu dalam sidang akhbar, Nicholas memaklumkan sebanyak 10,000 naskah al-Quran telah dicetak yang akan diedarkan secara percuma kepada masyarakat KDMRS di negeri ini terutama di kawasan pedalaman.

"Di kawasan pedalaman ada ceramah di masjid-masjid disampaikan dalam bahasa Dusun jadi sebenarnya ada sudah terjemahan cuma tidak diselaraskan dan kita melihat kepada keperluan.

"Kita cari orang paling layak untuk menterjemahkan dalam bahasa paling standard dan kita menggunakan bahasa Dusun Bundu Liwan yang bahasanya digunakan dalam siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan juga kurikulum sekolah-sekolah," katanya.

Ketua Pasukan Penterjemahan al-Quran, Dr Yusof Jasmin berkata, walaupun dalam terjemahan ini bahasanya agak mendalam tetapi sangat difahami dan menyentuh bagi mereka yang berbudaya Dusun itu sendiri.

Sehubungan itu, beliau bersetuju terjemahan itu turut memudahkan orang ramai memahaminya dari segi bahasa etniknya sendiri seperti bahasa Dusun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!