Kolam takungan air Pulau Sebatik beroperasi pada tahap minimum

Majlis Iftar Ramadan bersama Rumah Anak Yatim As-Sakinah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.
Majlis Iftar Ramadan bersama Rumah Anak Yatim As-Sakinah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kolam tadahan air di Pulau Sebatik, Tawau, kini mula beroperasi semula pada tahap minimum hasil daripada pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilakukan di Sabah sejak tiga hari lalu.

Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir Shahelmay Yahya berkata, pelaksanaan OPA selama tiga hari itu berlaku hujan sebanyak 67 peratus di kawasan Lahad Datu, Papar dan Kota Kinabalu.

"Namun kita belum dapat memastikan sama ada hujan itu di kawasan tadahan hujan atau sebaliknya. Tetapi di Pulau Sebatik empangan yang kering telah berfungsi pada tahap minimum iaitu pada kadar 0.3 juta liter sehari.

"Ini petanda yang baik sebab Sebatik antara kawasan di Sabah yang agak kering dari awal tahun selain daripada Papar. Itulah kita harap jumlah hujan yang mencukupi di kawasan tadahan hujan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Ramadan bersama Rumah Anak Yatim As-Sakinah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan pertambahan paras air di loji susulan bekerkesanan pembenihan awan yang dilaksanakan di Sabah sejak Khamis.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah bagaimanapun berkata, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) tetap meneruskan agihan bekalan air menggunakan air dari bawah tanah dan lori tangki bagi menampung kekurangan bekalan air di kawasan terjejas.

"Kita berdoa juga supaya ada hujan terutama di Papar memandangkan sekarang ini bakal memasuki bulan April yang mana Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah menyatakan bahawa fasa peralihan monsun akan berlaku.

"Sebagaimana yang diketahui untuk di Papar Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau telah dimasuki air masin disebabkan air dari hulu berkurangan jadi dengan adanya hujan akan menolak air masin dan seterusnya membolehkan loji itu berfungsi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya perkembangan semasa berhubung peruntukan RM320 juta untuk selesaikan isu air di Sabah, Shahelmey berkata, peruntukan itu kini memasuki fasa pengurusan nilai.

"Saya difahamkan telah dibuat pada minggu lalu dan lapan inisiatif yang diluluskan untuk melaksanakan atau menyelesaikan masalah air di negeri ini menanti pelaksanaannya.

"Tapi sebenarnya kita ada buat projek perintis di Sepanggar untuk melihat keberkesanannya dan kita pasti selepas pemotongan haram yang telah dilakukan serta pelaksanaan vendor ini maka kadar kehilangan air tak terhasil (NRW) dan air yang terbazir selama ini boleh masuk di sistem untuk kegunaan pengguna berdaftar kita.

"Sebaik saja pengurusan nilai selesai kita boleh terus memanggil perolehan yang mengikut tatacara yang dibenarkan untuk pelaksanaannya. Jadi ada yang boleh siap dalam tempoh enam bulan, ada yang mengambil tempoh 12 bulan dan paling lama 18 bulan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28