MAIS peruntuk RM10.9 juta kepada 27 rumah pemulihan riqab

Abdul Aziz (tengah) menyerahkan replika cek kepada Ketua Bahagian Pendaftaran Mualaf dan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) MAIS, Hafizatul Akmal Abdul Jalil (kanan) pada Majlis Penyampaian Geran Tahunan RPR dan Sumbangan Hari Raya di sebuah hotel pada Jumaat.
Abdul Aziz (tengah) menyerahkan replika cek kepada Ketua Bahagian Pendaftaran Mualaf dan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) MAIS, Hafizatul Akmal Abdul Jalil (kanan) pada Majlis Penyampaian Geran Tahunan RPR dan Sumbangan Hari Raya di sebuah hotel pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyerahkan sumbangan sebanyak RM10.9 juta kepada 27 rumah pemulihan riqab (RPR) di seluruh negeri Selangor pada tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, bantuan menerusi geran RPR itu melibatkan kos program, pengurusan dan penjagaan asnaf riqab di RPR di bawah seliaan MAIS.

Menurut beliau, MAIS turut menyumbang sebanyak RM357,000 kepada 1,190 asnaf riqab bagi membantu mereka membuat persiapan awal menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi.

"Sumbangan menggunakan peruntukan zakat asnaf riqab bertujuan membantu asnaf riqab yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan bagi menggalakkan mereka kembali ke pangkal jalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Geran Tahunan RPR dan Sumbangan Hari Raya di Mardhiyyah Hotel and Suites di sini pada Jumaat.

Majlis itu menghimpunkan seramai 145 asnaf riqab untuk bertadarus disusuli dengan Majlis Khatam Al-Quran dan Solat Sunat Tarawih.

Abdul Aziz memberitahu, besar harapan beliau agar proses bimbingan, pemulihan dan pendidikan kepada asnaf riqab diperkemaskan pada masa depan.

"Semoga penerima manfaat daripada kalangan asnaf riqab ini segera pulih dan kembali ke jalan Islam yang sebenarnya," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Antara RPR yang menerima bantuan ialah Rumah Teduhan Kasih, Rumah Puteri Arafiah, Rumah Penawar Alam Jaya, Rumah Perlindungan dan Bimbingan Wanita Bayt Rahmah dan Rumah Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28