Negeri Sembilan peruntuk RM9.05 juta untuk pertanian

Mohd Zafir (kanan) menyerahkan replika cek insentif tabung agro sambil diperhatikan Aminuddin (tengah).
Mohd Zafir (kanan) menyerahkan replika cek insentif tabung agro sambil diperhatikan Aminuddin (tengah).
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan melalui Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah memperuntukkan RM9.05 juta sepanjang tahun ini bagi meningkatkan sektor pertanian.

Exco Kanan merangkap Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi inisiatif Program Bidang Tumpuan 1: Jaminan Bekalan Makanan Negeri Sembilan 2023.

Menurutnya, seramai 527 individu telah menerima manfaat di bawah program berkenaan yang melibatkan keluasan 650 hektar tanah di negeri ini.

"Antara inisiatif tersebut adalah Tabung Agro 2.0 yang melibatkan kerjasama antara Agro Bank dengan kerajaan negeri melalui pinjaman tanpa faedah kepada 19 usahawan yang layak.

"Menerusi program Inisiatif Sejahtera Tani pula, seramai 82 belia berusia 40 tahun telah menerima bantuan dana maksimum RM10,000 untuk menaik taraf infrastruktur ladang dan pembelian input pertanian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Inisiatif Belanjawan Bidang Tumpuan 1 Jaminan Bekalan Makanan Kerajaan Negeri Sembilan 2023 di sini pada Khamis.

Majlis dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Tambah Jalaluddin, dengan bantuan tersebut dapat membantu pengusaha menggandakan produktiviti pertanian mereka.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, seramai 281 peserta termasuk sekolah dan agensi kerajaan telah menerima manfaat di bawah program Inisiatif Muafakat Tani.

Ujarnya, bagi menjayakan program Kebuniti Madani, kerajaan negeri telah menerima peruntukan sebanyak RM818,955 daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

"Ia melibatkan sebanyak 39 komuniti di setiap parlimen dalam usaha memastikan jaminan terhadap sumber bekalan makanan.

"Petani dan penternak perlu berganding bahu dengan pihak jabatan dan agensi kerajaan atau swasta dalam memastikan jaminan sekuriti makanan di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, semua Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diharap dapat terlibat dalam sektor pertanian misalnya membangunkan Agro Pelancongan.

Jelasnya, antara yang diusahakan ialah Durio Tourism bagi kebun durian dan industri madu kelulut yang dapat membantu meningkatkan ekonomi golongan petani.