Siapa kata kita sayangkan bahasa?

Sistem pendidikan Indonesia memungkinkan satu bahasa dengan satu loghat dan gaya pertuturan.
Sistem pendidikan Indonesia memungkinkan satu bahasa dengan satu loghat dan gaya pertuturan.
A
A
A

SAYA menamakannya ‘Sindrom Cengkareng’. Di Cengkareng terletaknya Bandara (bandar raya udara) Sukarno-Hatta, pintu masuk utama bagi pelawat ke ibu kota Indonesia, Jakarta.

Kebanyakan rakyat Malaysia apabila sampai di Cengkareng akan terus menukar loghat pertuturan mereka ke Bahasa Indonesia. Gaya itu kekal sehingga mereka meninggalkan Indonesia.

Bukan di Cengkareng sahaja rakyat Malaysia akan mengajuk gaya pertuturan Bahasa Indonesia tetapi di mana-mana pintu masuk di Pulau Sumatra, Jawa, Bali, Lombok dan lain-lain.

Mengapakah begitu? Pelawat Indonesia tidak pula menukar loghat mereka apabila sampai ke sini.

Apakah Bahasa Indonesia lebih superior, lebih menarik, lebih indah, lebih puitis atau lebih canggih dari Bahasa Melayu?

Sayugia diingat Indonesia tidak punya sebuah organisasi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diberikan amanah membina, mengembang dan mengawasi bahasa.

Bahasa Indonesia tumbuh dan berkembang secara alami dengan dinamisme tersendiri, berdasarkan keperluan dan tuntutan penuturnya.

Bahasa Indonesia secara rasmi dituturkan dari Pulau Sabang di Acheh hingga Merauke di Papua. Indonesia adalah negara pulau, di mana terdapat 17,508 buah pulau yang menjadikan Republik Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Dari 270 juta rakyatnya, terdapat 1,340 kumpulan etnik yang bertutur dalam 718 bahasa sukuan.

Dari jumlah itu terdapat 68.2 juta penduduk keturunan Jawa, diikuti oleh Sunda (32.4 juta), Madura (7.7 juta), Bugis (4.3 juta) dan Minangkabau (4.2). Hanya tiga peratus rakyat Indonesia dari keturunan Cina.

Dari mana asal mereka, dari suku etnik mana pun mereka dan dari wilayah geografi mana pun, rakyat Indonesia bercakap dalam bahasa yang baku atau standard di mana-mana mereka bertutur.

“Dari Sabang ke Merauke” merupakan teriakan kebanggaan oleh Presiden Indonesia yang pertama, Sukarno pada 17 Ogos 1963 di Stadium Utama Glora Bung Karno untuk mengajak perpaduan rakyat Indonesia.

Kepelbagaian suku kaum, bahasa, agama dan tempat asal membuatkan perlunya perpaduan semua rakyat Indonesia melalui satu bahasa.

Oleh yang demikian bahasa dalam pendidikan memainkan peranan penting dalam penyatuan masyarakat Indonesia yang kompleks itu.

Teras utama pendidikan adalah untuk memastikan rakyatnya membangun karakter yang sesuai dengan Pancasila.

Maka itu sistem pendidikan Indonesia memungkinkan satu bahasa dengan satu loghat dan gaya pertuturan.

Seseorang itu mungkin dari Balikpapan (Kalimantan), Cilacap (Pulau Jawa), Lhokseumawe (Acheh), Palu (Sulawesi), Ambon (Maluku) atau Manokwari (Papua Barat), tetapi mereka akan menggunakan bahasa Indonesia yang baku di sekolah dan dalam sebarang urusan.

Kita sebaliknya cuba mengekalkan pelat dan loghat tempatan yang terbawa-bawa dalam ucapan rasmi termasuk sewaktu berdebat di Parlimen.

Sebaliknya di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) semua orang bertutur dalam bahasa Indonesia baku.

Inilah uniknya Indonesia daripada segi penggunaan bahasa. Tidak ada ‘politik bahasa’ di Indonesia.

Bahasa kebangsaan mereka adalah Bahasa Indonesia. Pendiri republik ketika itu memilih Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang kemudiannya menjadi Bahasa Indonesia.

Sukarno dan teman-teman pendiri Indonesia boleh memilih bahasa yang digunakan oleh paling banyak orang ketika itu yakni Bahasa Jawa (dengan penutur lebih 50 juta orang) tetapi mereka memilih Bahasa Melayu.

Proses asimilasi bangsa Indonesia menjadi lebih mudah dengan satu bahasa dan satu sistem persekolahan. Bahasa menjadi sebahagian identiti ‘ke-Indonesia-an’.

Kita masih belum keluar dari debat tentang bahasa kebangsaan dan kepentingannya dalam pembinaan negara bangsa.

Kita masih berhujah tentang sistem pendidikan vernakular yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Kita masih belum boleh melepaskan diri dari pemikiran bahawa kita telah sekian lama – seperti yang dibenarkan oleh Perlembagaan – mengamalkan integrasi, bukan asimilasi seperti Indonesia.

Sesiapa sahaja boleh hidup di Malaysia tanpa menuturkan sepatah pun Bahasa Melayu di sini.

Sistem pendidikan tinggi kita pula dibenarkan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama pengajaran.

Maka sia-sialah sekian juta istilah dalam pelbagai disiplin ilmu yang telah dibina sejak puluhan tahun oleh DBP. Itulah realiti kebahasaan kita.

Kita serius kononnya untuk mengangkat martabat bahasa kebangsaan tetapi kita tidak memberikan kuasa ekonomi dan maruah ilmu pada bahasa itu.

Selagi itu tidak berlaku, selagi itulah Bahasa Melayu tidak akan ke mana.

Bahasa Melayu akan hanya digunakan dalam surat menyurat rasmi, dalam perbahasan di Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta menyampaikan pantun dalam majlis perkahwinan. Doa pun sekarang sudah mula dibacakan dalam Bahasa Inggeris!

Siapa kata kita sayangkan Bahasa Melayu? Lihatlah kualiti penggunaannya seharian – dari orang politik hinggalah orang kebanyakan.

Sekolah pun tidak berjaya memberikan bentuk formal bahasa yang kita harapkan. Guru sendiri banyak yang kental dalam loghat setempat mereka.

Bahasa itu jiwa bangsa. Dalam konteks Bahasa Indonesia bahasa digunakan untuk memberikan karakter nasional pada sebuah bangsa Indonesia.

Oleh sebab itu saya selalu mencemburui rakyat Indonesia dalam konteks penggunaan bahasa sebagai pembina jati diri dan kenegaraan.

* Tan Sri Johan Jaaffar ialah mantan Pengerusi DBP. Beliau adalah Tokoh Wartawan Negara.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28