Hazani dilantik Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua, kanan) menyampaikan surat pelantikan sebagai Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia kepada Datuk Seri Hazani Ghazali (dua dari kiri) di KDN pada Rabu. Foto Bernama
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua, kanan) menyampaikan surat pelantikan sebagai Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia kepada Datuk Seri Hazani Ghazali (dua dari kiri) di KDN pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali, dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA), berkuat kuasa pada Rabu.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, pelantikan Hazani adalah berdasarkan kelayakan dan pengalaman yang luas selama 37 tahun dalam bidang keselamatan dan ketenteraman negara serta penguatkuasaan dan kawalan undang-undang.

"Saya yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran serta kredibiliti beliau akan memacu kecemerlangan agensi baharu ini.

"MCAB sebuah agensi Kerajaan barisan hadapan yang bertanggungjawab memastikan matlamat dan agenda nasional dalam memperkasa kecekapan penyampaian perkhidmatan, mengurangkan ketirisan hasil negara dan meningkatkan aspek integriti dalam kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara," katanya pada Sidang Media Khas di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, pada Rabu.

Saifuddin Nasution menjelaskan, Hazani mula berkhidmat dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tahun 1987 dan telah diberi kepercayaan melaksanakan penugasan operasi-operasi khas mahupun sulit bagi membanteras kegiatan jenayah, penyeludupan, rompakan dan lain-lain aktiviti jenayah termasuk mengetuai operasi serbuan untuk memberkas pengganas.

"Beliau juga banyak menumpaskan elemen dan cubaan pencerobohan bersenjata sewaktu beliau ditugaskan sebagai Asisten Komissioner Polis (ACP), Bahagian Pasukan Khas di kawasan Pantai Timur Sabah sehinggalah diamanahkan tanggungjawab sebagai Komander Eastern Command di ESSCOM atas kecemerlangan dan komitmen beliau dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman negara sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah pada tahun 2020.

"Seterusnya, mulai tahun 2021 kepimpinan dan kewibawaan dalam menerajui KDNKA PDRM sebagai Pengarah bukan sahaja terbukti di dalam Negara, malah mempunyai hubungan yang baik bersama negara-negara luar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berkata, Hazani akan akan bertanggungjawab memastikan agensi berjaya mencapai visi, misi dan objektif menerusi pelaksanaan fungsi berdasarkan Akta Tubuh MCBA serta dasar Kerajaan berkaitan.

"Bagi tujuan tersebut, Rang Undang-Undang MCBA dijangka dibentangkan dalam Sesi Parlimen pada bulan Mac 2024 kelak," katanya.