Isu air selesai tiga tahun lagi, cukuplah tipu rakyat Kelantan - UMNO

Ahmad Jazlan (kiri) dan Laporan Sinar Harian
Ahmad Jazlan (kiri) dan Laporan Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - UMNO Kelantan menasihatkan kerajaan negeri cukuplah menipu rakyat dengan menabur janji isu air akan selesai dalam masa tiga tahun lagi.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, janji itu tidak ubah seperti 'gula-gula' kerana 2027 merupakan tahun berlakunya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

"Cukup lah perbodohkan rakyat Kelantan dengan harapan yang tidak pernah jadi kenyataan terhadap rakyat.

"Mana mungkin masalah itu mampu diselesaikan dalam tempoh tiga tahun lagi, gambaran perancangan pun tidak ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua UMNO Bahagian Kelantan, di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, rakyat perlu sedar dengan pembohongan dan janji kosong yang telah dibuat oleh kerajaan Pas.

Ahmad Jazlan (tengah) ketika sidang akhbar ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua UMNO Bahagian Kelantan di Kota Bharu pada Khamis.
Ahmad Jazlan (tengah) ketika sidang akhbar ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua UMNO Bahagian Kelantan di Kota Bharu pada Khamis.

"Sudah-sudahlah... jangan menanam tebu di bibir mulut. Lebih 30 tahun Pas mentadbir Kelantan dan sehingga kini masih gagal menyelesaikan masalah air" katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Ahmad Jazlan menuntut kerajaan negeri segera menyelesaikan masalah air menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ujarnya, kepulangan perantau menyaksikan penggunaan air akan meningkat dan situasi itu pasti memberi kesan kepada perkhidmatan tersebut.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan rakyat Kelantan diminta bersabar tiga tahun lagi apabila masalah air yang membelenggu negeri ini sejak 20 tahun lalu akan selesai sepenuhnya pada 2027.

Exco Jawatankuasa Kerja raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, hal ini kerana semua loji-loji yang dinaik taraf dan bina akan siap sepenuhnya pada tahun tersebut.

"Jadi pada 2028 nanti, Kelantan akan mempunyai lebihan bekalan air," katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Berbuka Puasa Bersama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada Ahad.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!