Kerajaan perkenal SolaRIS galak rakyat pasang sistem solar PV

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof. Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemasangan sistem solar PV (fotovoltaik) di premis kediaman oleh pengguna domestik membolehkan ruang bumbung bangunan dimanfaatkan untuk penjanaan tenaga boleh baharu (TBB).

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, selaras dengan hasrat ini, kerajaan akan memperkenalkan satu program insentif khusus untuk menggalakkan pemasangan sistem solar PV oleh pengguna domestik iaitu Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS).

“Pelancaran SolaRIS dijangka akan meningkatkan penerapan penjanaan solar di kalangan rakyat di bawah Program Net Energy Metering (NEM).

“Ini termasuk pemberian rebat berjumlah RM1,000/kWac sehingga maksimum RM4,000 kepada pengguna baharu NEM Rakyat yang mengemukakan permohonan NEM kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia pada dan selepas 1 April 2024,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Fadillah berkata, skim ini terbuka kepada semua warga negara Malaysia dengan had tuntutan sekali bagi setiap seorang yang merupakan pemegang akaun TNB.

“Skim ini adalah terbuka kepada mereka yang merupakan pemohon kali pertama bagi Program NEM dan pemberian rebat adalah berdasarkan prinsip ‘first come first served’ bagi kuota NEM Rakyat yang dimohon bermula 1 April sehingga 31 Disember 2024 dan permohonan NEM Rakyat yang telah diperolehi perlu beroperasi selewat-lewatnya 31 Mac 2025, atau sehingga kesemua kuota rebat SolaRIS habis diagihkan, yang mana terdahulu.

“Pembayaran rebat hanya akan dibuat selepas pemasangan serta pengoperasian sistem solar PV di bawah Program NEM Rakyat, atas nama pemegang bil dan akan didepositkan ke dalam akaun bank tempatan pengguna, tertakluk kepada terma dan syarat tuntutan,.

“Manakala pemberian insentif ini akan dikendalikan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan perincian program ini boleh didapati di laman sesawang TNB, SEDA Malaysia dan Suruhanjaya Tenaga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi memperluaskan penglibatan rakyat dalam penjanaan TBB, Kerajaan juga bersetuju untuk meluluskan kuota tambahan sebanyak 100 megawatt (MW) di bawah Program NEM Rakyat, menjadikan jumlah kuota yang diperuntukkan meningkat kepada 350MW.

“Permohonan kuota untuk Program NEM Rakyat ini dibuka sehingga 31 Disember 2024 atau sehingga kesemua kuota yang diperuntukkan habis diagihkan, yang mana terdahulu.

Jelasnya dengan ketetapan ini, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yakin SolaRIS mampu menarik lebih ramai pengguna domestik untuk menyertai dan menikmati manfaat daripada pemasangan sistem solar di premis kediaman, seterusnya menyumbang kepada aspirasi peralihan tenaga serta sasaran neutral karbon negara menjelang 2050.

Pemasangan sistem solar PV (fotovoltaik) di premis kediaman oleh pengguna domestik merupakan langkah tepat-tepat bagi membolehkan ruang bumbung bangunan dimanfaatkan untuk penjanaan tenaga boleh baharu (TBB).