Selaput uri boleh jadi plaster luka

Profesor Dr Suzina memegang kepingan selaput uri yang sudah dikeringkan di tangan kanannya menggunakan penyepit.
FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Profesor Dr Suzina memegang kepingan selaput uri yang sudah dikeringkan di tangan kanannya menggunakan penyepit. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Selaput uri yang lazimnya ditanam atau dilupuskan selepas kelahiran bayi mempunyai manfaat dalam bidang perubatan sebagai plaster biologi bagi melindungi luka dan membantu proses penyembuhan.

Lebih menarik, selaput uri itu hanya boleh didermakan oleh ibu yang melahirkan anak secara normal atau pembedahan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia Kubang (HPUSM) Kerian sahaja untuk diproses di Bank Tisu USM.

Bank Tisu USM ialah pelopor yang mempunyai kepakaran tersendiri dan satu-satunya bank tisu pelbagai jenis di negara ini yang memproses tisu manusia termasuk selaput uri.

Penyelaras Bank Tisu USM, Profesor Dr Suzina Sheikh Ab Hamid berkata, selaput uri atau amnion merupakan lapisan nipis dan lut sinar yang membentuk kantung pelindung bayi ketika dalam kandungan sebelum keluar bersama uri atau plasenta ketika bersalin.

“Selaput uri mempunyai kelebihan berbanding pembalut luka sintetik kerana bukan sahaja melindungi luka malah berfungsi secara aktif membantu merawat dan mempercepatkan proses penyembuhan.

“Ciptaan Allah ini sebagai ‘spare part’, dari manusia, untuk manusia,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Selaput uri yang dibersihkan sebelum melalui proses pengeringan.
Selaput uri yang dibersihkan sebelum melalui proses pengeringan.

Beliau berkata, selaput uri digunakan dalam rawatan luka melecur akibat kebakaran, kecederaan asid, luka permukaan kulit, ulser mata dan masalah kornea.

“Pembalut biologi ini akan melekap pada permukaan luka untuk melindungi tisu, mengekalkan kelembapan serta mengurangkan risiko jangkitan kuman. Lapisan ini juga membantu mengurangkan rasa sakit dengan melindungi kawasan luka daripada pendedahan persekitaran luar.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga mengandungi protein dan bahan bioaktif yang membantu merangsang pertumbuhan sel kulit baharu, pembaikan tisu serta pembentukan salur darah. Kandungannya turut membantu mengawal keradangan dan menyokong proses penyembuhan dengan mengurangkan pembentukan parut.

“Disebabkan ciri-ciri tersebut, selaput uri digunakan dalam bidang perubatan untuk membantu merawat luka yang sukar sembuh termasuk luka melecur, ulser kaki akibat diabetes dan kecederaan mata,” katanya.

Antara selaput uri yang siap diproses untuk digunakan sebagai plaster luka.
FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Antara selaput uri yang siap diproses untuk digunakan sebagai plaster luka. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

Bagi mendapatkan selaput uri, ibu yang bersetuju menderma perlu menandatangani borang keizinan dan menjalani saringan darah bagi memastikan mereka bebas daripada penyakit berjangkit seperti HIV, Hepatitis B, Hepatitis C dan sifilis.

“Bank Tisu USM hanya mengambil selaput uri manakala plasenta dikembalikan kepada ibu untuk diuruskan mengikut adat atau agama masing-masing.

“Selaput uri yang diperoleh kemudian dibersihkan, diproses dan disteril melalui teknik iradiasi di Agensi Nuklear Malaysia sebelum digunakan untuk tujuan rawatan,” katanya.

Menurutnya, jumlah selaput uri yang boleh dihasilkan bergantung kepada saiz selaput uri.

“Satu pendermaan mampu menghasilkan sekitar 30 hingga 35 keping manakala uri yang lebih besar boleh menghasilkan sehingga kira-kira 60 keping.

“Bermula tahun 2014 hingga 2024 sudah hampir 2,000 keping selaput uri dibekalkan kepada pesakit,” katanya.

Profesor Dr Suzina (kanan) bersama kakitangan menunjukkan selaput uri yang sedia untuk dihantar kepada hospital-hospital.
FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Profesor Dr Suzina (kanan) bersama kakitangan menunjukkan selaput uri yang sedia untuk dihantar kepada hospital-hospital. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

Beliau berkata, jumlah penderma selaput uri di USM pula sekitar 10 hingga 15 orang setahun yang dapat memberi manfaat kepada ramai pesakit lain.

“Penderma selaput uri di Kelantan ketika ini terdiri daripada ibu-ibu yang melahirkan anak di HPUSM.

“Maklumat mengenai program pendermaan itu turut disediakan di klinik ibu mengandung bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita yang bakal melahirkan anak,” kata beliau.

Bank Tisu USM ditubuhkan pada 1994 merupakan bank tisu pertama di Malaysia dan kini membekalkan pelbagai jenis graf tisu kepada hospital kerajaan serta swasta di seluruh negara.

Pendermaan selaput uri bukan sahaja membuka peluang kepada ibu untuk membantu pesakit lain malah memberi nilai baharu kepada tisu yang sebelum ini sering dianggap tidak lagi berguna selepas proses kelahiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!