Lelaki ditahan syaki terlibat pengabaian anak teman wanita

Teman lelaki ibu mangsa ditahan pada hari sama jam 8.30 malam di sebuah rumah di Bandar Sunggala dekat sini.
Teman lelaki ibu mangsa ditahan pada hari sama jam 8.30 malam di sebuah rumah di Bandar Sunggala dekat sini.
A
A
A

PORT DICKSON - Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki terlibat dalam kes pengabaian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun sebelum kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki berusia 38 tahun yang merupakan teman lelaki ibu mangsa ditahan pada hari sama jam 8.30 malam di sebuah rumah di Bandar Sunggala dekat sini.

"Pada Ahad lalu jam 10.05 malam, Balai Polis Telok Kemang menerima panggilan daripada Hospital Port Dickson memaklumkan menerima seorang pesakit kanak-kanak dalam keadaan kritikal kerana terjatuh dari kenderaan.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 15 Mac lalu lebih kurang jam 8.30 malam ketika suspek ingin membuka pintu kenderaannya semasa berhenti di sebuah kedai," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, mereka sebelum itu dalam perjalanan dari Taman Anggerik ke Taman Mayung, Telok Kemang.

"Berikutan daripada kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan lebam di beberapa bahagian anggota badan.

"Bagaimanapun pada Selasa lebih kurang jam 6.04 petang mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS)," katanya.

Beliau berkata, susulan itu polis menahan suspek yang dipercayai mempunyai hubungkait dengan kejadian terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah manakala ujian saringan air kencing adalah negatif dadah.

"Suspek kini direman selama enam hari sehingga 1 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!