Polis maut dipukul: Lima lelaki ditahan

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Hussein)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Hussein)
A
A
A

KAJANG - [DIKEMAS KINI] Seramai lima lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes memukul anggota polis sehingga maut di di sebuah pangsapuri di Taman Impian Indah di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu ditahan pada 9.40 pagi, hari sama di sekitar daerah ini dan usaha mengesan beberapa individu lagi sedang dijalankan.

“Hasil bedah siasat yang selesai petang semalam mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan parah di kepala akibat hentakan.

“Kesemua mereka telah dihadapkan ke Mahkamah Bandar Baru Bangi dan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 30 Mac ini bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, pada Ahad.

Pada Sabtu, media melaporkan seorang anggota polis maut dipercayai dipukul dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Impian Indah di sini.

Dalam kejadian jam 3.04 awal pagi Sabtu, anggota berpangkat koperal berusia 34 tahun itu dilaporkan berselisih faham bersama isterinya di kawasan tersebut sebelum didatangi lima lelaki yang dipercayai cuba meleraikan pergaduhan antara pasangan terbabit.

Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang sebelum berlaku pergaduhan antara mangsa dan lima lelaki terbabit sehingga mangsa terbaring dan tidak sedarkan diri.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kajang.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28