14 nelayan asing tanpa dokumen ditahan bersama tiga bot

Lima antara 14 nelayan asing tanpa dokumen ditahan untuk siasatan lanjut.
Lima antara 14 nelayan asing tanpa dokumen ditahan untuk siasatan lanjut.
A
A
A

GEORGE TOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan tiga buah bot nelayan tempatan bersama 14 nelayan asing dalam Ops Tiris 3.0 pada Ahad.

Pemangku Pengarah Maritim Pulau Pinang, Komander Maritim S Nak Rong berkata, ketiga-tiga bot tersebut ditahan di beberapa lokasi di kedudukan antara 10.5 hingga 42 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

Menurutnya, ketiga-tiga bot tersebut ditahan kerana pelbagai kesalahan.

"Dalam tangkapan pertama, kita menahan sebuah bot kelas C pada jam 2.30 pagi semalam sewaktu melaksanakan Ops Tiris 3.0.

"Kita menahan empat nelayan warga Myanmar yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 di bawah Seksyen 8 (b) kerana melanggar syarat sah lesen iaitu melakukan aktiviti perikanan di bawah 15 batu nautika.

"Keempat-empat nelayan berkenaan juga disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 mengikut Seksyen (1) (C) iaitu tidak memiliki permit atau pas yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.


Maritim Malaysia Pulau Pinang merampas hasil laut daripada nelayan asing.
Maritim Malaysia Pulau Pinang merampas hasil laut daripada nelayan asing.

Tambah beliau, operasi melibatkan Kapal Maritim (KM) Burau itu turut menahan sebuah lagi bot kelas C2 ketika melakukan pemeriksaan rutin di sekitar 42.0 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada petang hari sama.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit dikendalikan lima nelayan warga Myanmar berusia lingkungan 24 hingga 45 tahun.

"Bot itu juga disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 di bawah Seksyen 8 (b) dan Akta Imigresen 1959/63 mengikut Seksyen 6(1)(c) iaitu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah," katanya lagi.

Tambah Nak Rong, ketika diminta menunjukkan dokumen pengenalan diri, kelima-lima nelayan terbabit gagal mengemukakan dokumen seperti yang diminta.

"Oleh demikian, bot kedua ini juga ditahan bersama hasil laut dianggarkan seberat 1,000 kilogram (kg)," ujar beliau.


Tiga buah bot ditahan bersama 14 nelayan asing dalam Ops Tiris 3.0 yang dijalankan pada Ahad.
Tiga buah bot ditahan bersama 14 nelayan asing dalam Ops Tiris 3.0 yang dijalankan pada Ahad.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan sebuah bot yang dinaiki lima nelayan warga Thailand di sekitar 25 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

"Ketika pemeriksaan, dua nelayan didapati tidak mempunyai kebenaran menggunakan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Oleh itu, kesemua suspek ditahan bersama tangkapan ikan dianggarkan 400 kg. Bot berkenaan dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Pulau Pinang untuk tindakan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 di bawah Seksyen 8(b)," katanya.