Pemandu lori rentung nahas dua treler jatuh gaung

Seorang pemandu lori rentung selepas terlibat nahas membabitkan dua treler di kilometer 255, Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara) pada petang Rabu. - Foto: Bomba
Seorang pemandu lori rentung selepas terlibat nahas membabitkan dua treler di kilometer 255, Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara) pada petang Rabu. - Foto: Bomba
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pemandu lori rentung selepas terlibat dalam nahas membabitkan dua treler di kilometer 255, Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara) dekat sini pada petang Rabu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.20 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Light Fire Rescue Tender (LFRT), satu utiliti Rapid Rescue Vehicle (RRV), tiga Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dan dua jentera 'water tanker' turut digerakkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, terdapat kebakaran membabitkan sebuah lori treler yang membawa muatan kontena kosong.

" Ia susulan daripada kemalangan jalan raya melibatkan dua lori treler yang terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung dengan kedalaman kira-kira 10 meter," katanya.

Beliau berkata, terdapat seorang mangsa lelaki berusia anggaran 30-an yang tersepit dan rentung berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba.

"Lelaki terbabit telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada jam 5.24 petang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!