Juruteknik kilang, pemandu lori ditahan miliki pistol

Ahmad Ridhwan (dua DARI kiri) menunjukkan pistol yang dirampas.
Ahmad Ridhwan (dua DARI kiri) menunjukkan pistol yang dirampas.
A
A
A

KUALA LANGAT - Polis menahan dua lelaki secara berasingan kerana disyaki memiliki sepucuk pistol di Telok Panglima Garang, di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun di sebuah stesen minyak di sini pada jam 2.40 pagi.

"Semasa pemeriksaan dijalankan didapati suspek yang juga juruteknik kilang meletakkan sesuatu di bawah kereta yang berada di kawasan tersebut.

"Hasil pemeriksaan lanjut di bawah kereta tersebut menjumpai sepucuk pistol berisi enam butir peluru," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ahmad Ridhwan berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk siasatan lanjut.

"Susulan daripada tangkapan pertama, kita berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 30 tahun yang juga pemandu lori pada jam 3.30 petang kerana disyaki terlibat dalam kes ini," katanya.

Beliau berkata, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960.

"Motif masih dalam siasatan, setakat ini tiada penglibatan dalam kongsi gelap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan pihak polis.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!