Pemilik kafe Tanah Aina boleh kemuka rayuan - Wan Rosdy

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Pihak Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant di Bentong yang ditutup laluan masuk ke parkir oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) boleh mengemukakan rayuan kepada kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan Pahang tidak pernah menghalang warganegara Malaysia terutama rakyat Pahang untuk berbuat demikian.

“Rayuan, mohon tanah semua boleh, kita tidak halang warganegara terutama rakyat negeri Pahang untuk membuat rayuan, mohon tanah.

“Kemudian terpulang kepada pihak berkuasa negeri untuk mempertimbangkan sama ada meluluskan atau tidak,” katanya ketika diminta mengulas penutupan laluan masuk ke restoran berkenaan oleh UPNP.

Wan Rosdy menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Pelancaran Peringkat Kebangsaan Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri 2024 anjuran Petronas di Hotel Grand Darul Makmur pada malam Rabu.
Wan Rosdy menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Pelancaran Peringkat Kebangsaan Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri 2024 anjuran Petronas di Hotel Grand Darul Makmur pada malam Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Peringkat Kebangsaan Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri 2024 anjuran Petronas di Hotel Grand Darul Makmur pada malam Rabu.

Pada Selasa, media melaporkan Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant sudah diberi notis peringatan tetapi didakwa masih ingkar, sekali gus mendorong Unit UPNP menutup sepenuhnya laluan masuk parkir yang dibina atas tanah kerajaan.

Susulan tindakan itu, pemilik restoran, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil meminta kerajaan Pahang untuk mempertimbangkan rayuan dan memberi peluang kepada mereka menjalankan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Shariffa Sabrina berkata, pihaknya juga sedia untuk berbincang sekiranya ada melakukan sebarang kesalahan, sekali gus menyelesaikan isu yang timbul dengan cara baik.

Menjawab dakwaan wujud sentimen antara kerajaan Pahang dan pihak Tanah Aina, Wan Rosdy menafikan perkara tersebut dan menegaskan tindakan dilakukan susulan penguatkuasaan telah dijalankan di kawasan itu.

Beliau berkata, tindakan yang diambil bukan perkara baharu dan secara tetiba-tiba, sebaliknya ia berdasarkan peraturan yang ditetapkan.

“Kita sudah beritahu lama dah bukan kata hari ini kita nak ambil tindakan, hari ini terus kita pergi buat tindakan.

"Untuk penguatkuasaan (ia) ada peraturan-peraturan tertentu seperti mengeluarkan amaran, notis, dan sebagainya. Oleh sebab mereka ingkar, tidak mematuhi notis dan amaran daripada kerajaan negeri jadi penguat kuasa terpaksa mengambil tindakan," katanya yang menolak dakwaan mengatakan kerajaan Pahang mengambil tindakan sewenang-wenangnya dan tanpa pengetahuan.

Mengulas restoran berkenaan yang turut membantu mempromosikan pelancongan di daerah Bentong, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang menggalakkannya, namun ia perlu dilakukan dengan proses yang betul.

Wan Rosdy menambah, bukannya mempromosikan dengan melalui jalan yang sepatutnya tidak boleh dilalui.

"Kita galakkan tapi kena buat cara betul. Kerajaan Pahang juga sudah berbincang dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan mereka mengesahkan bahawa jalan itu tidak sepatutnya dibuka untuk laluan sebab ini lebuh raya," katanya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!