Oman kritik padang Stadium Nasional Bukit Jalil
OMAN mengakui kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil tidak berada pada tahap terbaik pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Harimau Malaya pada Selasa.
Pengendali pasukan itu, Jaroslav Silhavy berkata, keadaan padang menyebabkan pasukannya dan skuad Harimau Malaya tidak dapat memberikan persembahan yang lebih baik.
"Saya rasa masalah ini (padang) memberikan masalah kepada kedua-dua pasukan dan agak sukar bermain atas permukaan padang sebegini," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Sebelum ini, keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil dikritik kerana berada dalam keadaan tidak sempurna menjelang perlawanan menentang Oman itu.
Ia selepas stadium tersebut digunakan untuk konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran pada 24 Februari lalu menyebabkan padang rosak.
Namun, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berjaya memperbaiki keadaan padang itu, namun tidak 100 peratus apabila rumput dilihat beberapa kali tercabut semasa perlawanan itu.
Dalam pada itu, Silhavy gembira dengan kemenangan 2-0 yang dilakar pasukannya ke atas Malaysia walaupun mampu untuk menang besar dalam perlawanan itu.
"Perlawanan ini agak sukar kerana Malaysia turut mahu menebus kekalahan di Oman. Kami juga berjaya mengawal permainan dengan baik.
"Walaupun kami melepaskan beberapa peluang, tetapi saya gembira dengan permainan pasukan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28