Dua sekolah, satu misi di Azerbaijan

Senarai pemain Harimau Muda B-15 bagi cabaran Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 di Baku. INFOGRAFIK: FAM
Senarai pemain Harimau Muda B-15 bagi cabaran Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 di Baku. INFOGRAFIK: FAM
A
A
A

DUA sekolah menengah dari Pahang dan Johor menjadi sandaran apabila 14 pemain muda negara bersiap sedia menggalas cabaran pada Festival dan Piala Dunia Bawah 15 Tahun (B-15) FIFA 2026 di Baku, Azerbaijan, yang bermula Sabtu ini.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gambang, Pahang mendominasi senarai akhir skuad kendalian P Maniam dengan 10 pemain, manakala empat lagi merupakan pelajar SMK Taman Desa Skudai, Johor.

SMK Gambang mempertaruhkan Muhammad Ariq Fayyadh Raimi, Amirul Faris Azlan @ Iskandar Shah, Muhammad Ammar Mohd Saiful Hisham, Muhammad Harris Haneef Zulkiffli dan Muhammad Adib Mohamed Ezammuddin.

Lima lagi wakil sekolah itu ialah Muhammad Hykal Iqwan Azlan, Muhammad Iman Luthfi Zairol Hisham, Armin Haikal Hazim, Anas Suffiyan Mohamad Arif dan Muhammad Mikhaeel Yee Mohd Mubeen Yee.

Sementara itu, SMK Taman Desa Skudai pula diwakili Danny Firas Musleyadi, Aqhee Haiqal Koko, Muhammad Rayyan Haziq Ahfizal Ahmad serta Muhammad Harith Musyrif Hairy.

Harimau Muda B-15 yang diundi dalam Kumpulan H akan membuka kempen menentang Dominica pada Sabtu, jam 2.15 petang waktu Malaysia, sebelum mengharungi dua perlawanan keesokan harinya.

Anak buah Maniam dijadual berdepan Syria pada Ahad, jam 1 tengah hari, diikuti Ethiopia pada jam 7.45 malam.

Skuad muda negara kemudian melengkapkan saingan kumpulan menentang Hungary pada Isnin, jam 3.30 petang, sebelum membuat perhitungan dengan Mexico pada jam 10.15 malam.

Kedudukan akhir kumpulan akan menentukan penempatan pasukan dalam saingan Tahap A hingga F yang dijadual berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober.

Artikel Berkaitan:

Edisi sulung kejohanan di Hovsan Competition Complex dari 24 hingga 30 Oktober itu bakal menghimpunkan 191 pasukan negara yang dibahagikan kepada 24 kumpulan.

Pertandingan menggunakan format lapan sebelah dengan setiap perlawanan berlangsung selama 40 minit, membabitkan dua babak masing-masing 20 minit.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!