SML 2026 tarik 1,400 penyertaan

SELANGOR Muaythai League (SML) 2026 bakal menutup tirai dengan penyertaan keseluruhan 1,400 peserta amatur selepas 400 lagi petarung beraksi pada SML Vol 5.0 The Finale di Dewan Sri Siantan, Selayang pada 31 Oktober dan 1 November ini.
Persatuan Muaythai Negeri Selangor (PMNS) dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah itu merangkumi 1,000 penyertaan yang direkodkan menerusi empat edisi terdahulu, dengan setiap edisi melibatkan 250 peserta amatur akar umbi.
"Penganjuran Finale kali ini turut mencipta kelainan apabila PMNS memperkenalkan pertarungan profesional buat julung kalinya di bawah anjuran persatuan itu, membabitkan tujuh pertarungan dengan penyertaan 14 petarung.
"Acara kemuncak musim 2026 itu akan menyaksikan perebutan dua tali pinggang profesional, tiga tali pinggang amatur dan dua trofi amatur, sekali gus menghimpunkan bakat baharu serta petarung berpengalaman dalam satu pentas pertandingan," kata kenyataan itu.
Menurut PMNS, penganjuran SML secara berterusan bertujuan membuka lebih banyak ruang kepada bakat tempatan untuk menimba pengalaman di gelanggang, menguji kemampuan serta meningkatkan prestasi dari satu edisi ke edisi seterusnya.
SML 2026 memulakan saingan menerusi Vol 1 pada 7 Februari di Glorious Fight Club, Shah Alam, sebelum Vol 2.0 berlangsung pada 25 dan 26 April di NU Empire, Subang.
Saingan diteruskan dengan Vol 3.0 pada 25 Julai di SACC Mall, Shah Alam, diikuti Vol 4.0 pada 16 September di Glorious Fight Club, Shah Alam, sebelum berakhir menerusi Finale di Selayang.
Penganjuran SML Vol 5.0 The Finale turut menerima sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Geran Padanan Sukan bagi membantu merealisasikan acara kemuncak yang menyediakan platform pertandingan kepada atlet tempatan itu.
Dalam pada itu, pemegang tiga tali pinggang amatur pada edisi Finale berpeluang mempertahankan gelaran masing-masing apabila dicabar semula dalam penganjuran SML 2027, sekali gus memberi motivasi kepada atlet untuk terus memperbaiki prestasi.
PMNS turut merancang menganjurkan Selangor ASEAN Muaythai League pada Jun 2027 bagi memperluas pendedahan antarabangsa kepada atlet tempatan, selain meletakkan Selangor sebagai antara pusat perkembangan sukan Muaythai di rantau ini.
"Kejohanan berkenaan dirancang menarik penyertaan dari Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam, Brunei dan Singapura. Sehubungan itu, PMNS mengalu-alukan sokongan kerajaan negeri Selangor serta rakan strategik bagi merealisasikan hasrat berkenaan," kata kenyataan itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
