Oman dalam kelas tersendiri benam Malaysia di Bukit Jalil

Aksi pemain Malaysia, Arif Aiman Mohd Hanapi mengasak pemain Oman, Salaah Al Yahyaei pada perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. - Foto Bernama
Aksi pemain Malaysia, Arif Aiman Mohd Hanapi mengasak pemain Oman, Salaah Al Yahyaei pada perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

OMAN berada dalam kelas tersendiri apabila menumpaskan Malaysia 2-0 dalam aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Jaringan Omar Al Malki dan Mohamed Mubarak Al Ghafri sudah cukup buat Oman mengulangi kemenangan 2-0 yang mereka raih di Muscat minggu lalu.

Skuad Harimau Malaya yang berada di ranking ke-132 dunia memulakan rentak positif pada awal babak pertama menerusi dua percubaan Arif Aiman Hanapi, namun gagal menemui sasaran.

Percubaan pertamanya ditangkap kemas penjaga gol Oman, Ibrahim Al Mukhaini dan disusuli sepakan kedua yang melepasi gawang pasukan lawan.

Oman yang menghuni ranking ke-80 dunia turut menguji ketahanan skuad negara, namun berjaya dikekang dengan baik benteng pertahanan yang diketuai kapten, Dion Cools.

Namun malang menimpa pemain pertahanan, Azam Azmi Murad apabila terpaksa diusung keluar akibat kecederaan dan tempatnya diganti oleh Daniel Ting.

Ketika menuju penghujung babak pertama, kem negara berdepan detik cemas apabila dua percubaan Oman hampir menemui hasil.

Mujur sepakan Muhsen Saleh Al Ghassani sedikit melepasi gawang Malaysia dan satu lagi percubaan ditepis keluar penjaga gol negara, Ahmad Syihan Hazmi.

Artikel Berkaitan:

Namun keampuhan benteng negara tidak bertahan lama apabila Oman memperoleh sepakan penalti selepas Ahmad Syihan menjatuhkan Muhsen.

Omar kemudian menyudahkan dengan mudah untuk meletakkan Oman di depan pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua Malaysia yang dibimbing Kim Pan-gon membuat dua pertukaran.

Aksi pemain Malaysia, Darren Lok mengawal bola dari pemain Oman pada perlawanan Kumpulan D pusingan kedua bagi Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027, Malaysia menentang Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Foto Bernama
Aksi pemain Malaysia, Darren Lok mengawal bola dari pemain Oman pada perlawanan Kumpulan D pusingan kedua bagi Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027, Malaysia menentang Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Foto Bernama

Pemain tengah, Syamer Kutty Abba serta Darren Lok dikeluarkan dan digantikan oleh Endrick Dos Santos serta Brendan Gan.

Skuad Harimau Malaya kemudian berpeluang untuk menyamakan kedudukan, namun percubaan Corbin Ong dari luar kotak penalti melepasi gawang Oman.

Malaysia kemudian terus mengasak menerusi Romel Morales, Faisal Halim dan Arif Aiman, namun Oman ampuh bertahan.

Oman yang seakan berpuas hati dengan satu jaringan itu dilihat memperlahankan permainan sambil cuba mengatur gerak menerusi serangan balas pantas.

Skuad negara yang enggan berputus asa memperkemaskan corak permainan dengan memasukkan Akhyar Rashid dan mengeluarkan Faisal.

Namun ketika Malaysia cuba mengatur gerak untuk menyamakan kedudukan, serangan balas Oman membawa padah buat pasukan negara.

Taktikal tersusun Oman membuahkan hasil apabila Mohamed mengandakan jaringan untuk pasukan pelawat menang 2-0.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28