Beasley sukar dicari ganti - PKBM

Amarjit akui sumbangan besar Beasley kepada skuad berbasikal trek negara.
Amarjit akui sumbangan besar Beasley kepada skuad berbasikal trek negara.
A
A
A

PENGARUH John Beasley dalam pembangunan berbasikal trek Malaysia sepanjang lebih dua dekad menjadikan pemergiannya ke Jepun satu kehilangan besar buat sukan itu, khususnya dalam usaha melahirkan pelumba berkelas dunia.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, sumbangan pengarah teknikal berkenaan membentuk kejayaan negara di pentas antarabangsa, termasuk melahirkan barisan pelumba yang mencipta nama dalam kejohanan utama dunia.

Menurutnya, kejayaan Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Rizal Tisin dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, selain perkembangan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, antara bukti besar pengaruh Beasley terhadap skuad negara.

“Sudah pasti PKBM paling terasa dengan pemergiannya. John bersama kami lebih dua dekad dan sepanjang tempoh itu, beliau melahirkan ramai pelumba bertaraf dunia,” katanya.

Tambah Amarjit, perubahan besar dalam prestasi berbasikal trek negara bermula menerusi kemunculan Rizal dan Azizulhasni sebelum disusuli Shah Firdaus, manakala Nurul Izzah Izzati turut mendapat manfaat daripada bimbingan jurulatih kelahiran Australia itu.

Beasley juga memainkan peranan penting dalam kejayaan Azizulhasni merangkul gelaran juara dunia pada 2017, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam arena berbasikal trek antarabangsa.

Beliau dijadual menamatkan khidmat secara rasmi pada 31 Oktober ini selepas mengemukakan peletakan jawatan pada 1 Ogos lalu dengan notis tiga bulan.

Kejohanan Trek Sedunia di Shanghai, China yang berakhir pada 18 Oktober lalu menjadi tugasan terakhirnya bersama skuad kebangsaan.

Beasley mula berkhidmat pada 1 Januari 2006 dan sepanjang tempoh itu turut membantu pembangunan pelumba seperti Josiah Ng serta Fatehah Mustapa.

Artikel Berkaitan:

Amarjit berharap Beasley terus menempa kejayaan dalam perjalanan kerjaya seterusnya, sambil menyifatkan sumbangan dan dedikasinya kepada sukan berbasikal trek negara sebagai legasi yang akan terus dikenang.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!