Amarjit dapat pengiktirafan antarabangsa

PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill menerima Anugerah Kepimpinan Ikon The BrandLaureate bagi Kepimpinan Global dalam Sukan Antarabangsa di Kuala Lumpur pada malam Khamis.
Anugerah itu disampaikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif yang juga Penaung The BrandLaureate.
PKBM dalam kenyataan hari ini memaklumkan anugerah itu diberikan kepada Amarjit sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya kepada sukan berbasikal serta peranan dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam kepimpinan sukan antarabangsa.
Amarjit dalam kenyataan sama berbesar hati terhadap pengiktirafan itu dan mendedikasikan anugerah itu kepada semua pihak yang menyumbang kepada pembentukan serta kemajuan sukan berbasikal di Malaysia, Asia dan peringkat dunia bersamanya.
"Anugerah ini mencerminkan komitmen bersama persekutuan kebangsaan, atlet, jurulatih, pegawai, rakan kerjasama serta ramai individu berdedikasi yang bekerja tanpa mengenal penat lelah di belakang tabir," katanya.
Amarjit, yang juga seorang peguam, sebelum ini mencipta sejarah selaku rakyat Malaysia pertama dipilih sebagai Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selain memegang jawatan Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
