Paris 2024: Semua bergantung kepada keinginan Tze Yong

Tze Yong berpeluang ke Sukan Olimpik Paris 2024, sekiranya menjuarai BAC China 2024

Tze Yong
Tze Yong
A
A
A

PEMAIN perseorangan negara Ng Tze Yong masih berpeluang membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik 2024 di Paris sekiranya menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China, pada 9 hingga 14 April ini.

Namun Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata, semua bergantung kepada keinginan pemain berkenaan beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu atau sebaliknya.

"Terpulang kepada Tze Yong sama ada dia yakin atau tidak untuk bermain di BAC, jika tidak lebih baik fokus kepada Piala Thomas 2024 dan lupakan Olimpik.

"Tze Yong perlu all out kerana laluan untuk ke Olimpik dia perlu muncul juara (BAC)," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di ABM, Kuala Lumpur pada Selasa.

Sebagai rekod, laluan pemain berusia 23 tahun itu untuk ke Paris 2024 samar selepas tersingkir daripada carta kedudukan 16 pemain teratas dalam Race to Paris yang dijangka berakhir pada 28 April ini.

Sebagai rekod, Tze Yong masih menjalani proses pemulihan susulan pembedahan di bahagian belakang baru-baru ini,

Dalam pada itu, Rexy berkata Tze Yong ketika ini belum berupaya untuk melompat manakala pergerakannya dalam gelanggang masih terbatas.

Pakar beregu dari Indonesia itu berharap agar pemain ranking ke-18 dunia itu mampu mengatasi trauma susulan kecederaan yang dialaminya bagi mengembalikan semula keyakinannya di dalam gelanggang.

Artikel Berkaitan:

"Datuk Tey Seu Bock (jurulatih perseorangan lelaki) juga ada beritahu saya ketika latihan di gimnasium Tze Yong ada rasa sedikit fed up, nak buat ini tak boleh, nak buat itu tak boleh.

"Kita semua mahu Tze Yong fit tapi apapun berbalik kepada beliau sama ada mahu terus mencuba atau sebaliknya kerana dia lebih memahami keadaan badannya...," katanya.

INFO

Temasya Sukan Olimpik 2024 dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28