Polis rampas syabu bungkusan teh Cina bernilai RM571,500

Polis merampas 17 bungkusan teh Cina yang disyaki mengandungi dadah syabu seberat 17.3 kg bernilai RM571,500 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Panchor Indah, Nibong Tebal malam Isnin. Gambar hiasan
Polis merampas 17 bungkusan teh Cina yang disyaki mengandungi dadah syabu seberat 17.3 kg bernilai RM571,500 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Panchor Indah, Nibong Tebal malam Isnin. Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis merampas 17 bungkusan teh Cina yang disyaki mengandungi dadah syabu seberat 17.3 kilogram (kg) bernilai RM571,500 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Panchor Indah, Nibong Tebal dekat sini malam Isnin.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usof Jan Mohamad berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berumur 51 tahun dalam serbuan pada 8 malam oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pulau Pinang hasil risikan dan maklumat awam.

"Semasa serbuan itu, lelaki terbabit berada di luar rumah itu bersama sebungkus teh Cina mengandungi syabu dan pemeriksaan di dalam kediaman yang disewanya, polis menemukan 16 lagi bungkusan syabu.

"Semua dadah itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran oleh rangkaian sindiket pengedaran dadah sebelum diserahkan kepada lelaki terbabit untuk disimpan di rumah itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini pada Selasa.

Beliau berkata, lelaki yang tidak bekerja itu menyewa rumah berkenaan untuk dijadikan stor menyimpan dadah sebelum mengedarkan kepada pelanggan di sekitar negeri ini dan tinggal di rumah lain bersama keluarganya.

Berdasarkan siasatan, Mohamed Usuf berkata, lelaki yang mempunyai 11 rekod lampau dan positif dadah itu menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Oktober tahun lepas sementara polis turut menyita sejumlah wang tunai dan sebuah kereta yang kesemuanya bernilai RM19,200.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Usuf berkata polis menahan dua lelaki dan seorang wanita serta merampas pelbagai jenis dadah antaranya methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), pil ekstasi dan syabu yang kesemuanya bernilai RM27,940 dalam serbuan di sebuah apartmen di Tanjung Tokong di sini pada 11 malam tadi.

Katanya, berdasarkan siasatan, tiga individu tempatan berumur 20 hingga 30 tahun itu mempunyai kepakaran untuk menghasilkan campuran MDMA sebelum membungkus semula ke dalam pek minuman segera terkenal dan menjual di pusat hiburan di daerah Timur Laut.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang ditahan itu tinggal bersama di rumah sewa dan bekerja sebagai tukang masak serta pelayan di restoran, siasatan kami mendapati setiap bungkusan pek minuman segera mengandungi MDMA itu dijual antara RM150 hingga RM200," katanya.

Beliau berkata seorang daripada mereka yang ditahan itu positif dadah dan susulan penahanan tiga individu terbabit, polis turut menyita sebuah kereta bernilai RM65,000.

Kesemua mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28