Penghantar barang ditahan, polis rampas ganja lebih RM130,000

Cecair ganja yang disembunyikan dalam but sebuah kereta.
Cecair ganja yang disembunyikan dalam but sebuah kereta.
A
A
A

MELAKA - Polis menahan seorang penghantar barang dan merampas ganja seberat 41.28 kilogram (kg) serta cecair ganja yang dianggarkan bernilai RM130,971 pada Ahad lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, arah selatan Lebuhraya Utara Selatan di sini, pada jam 1.35 petang kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam sebuah kereta yang dinaiki suspek menemui kesemua dadah jenis itu termasuk 300 unit cecair ganja yang diletakkan di bahagian but kereta.

Katanya, risikan yang dijalankan sejak sebulan lalu mendapati sindiket ini mula aktif sejak awal tahun lalu dan suspek dipercayai berperanan sebagai pengedar dadah di sekitar negeri ini.

Sebahagian ganja yang dirampas dalam serbuan di Hentian R&R Ayer Keroh, pada Ahad lalu. Cecair ganja (kanan) yang dirampas dalam serbuan itu.
Sebahagian ganja yang dirampas dalam serbuan di Hentian R&R Ayer Keroh, pada Ahad lalu. Cecair ganja (kanan) yang dirampas dalam serbuan itu.

"Semakan rekod yang dijalankan mendapati individu itu mempunyai satu rekod dadah lampau, namun hasil saringan air kencing adalah negatif.

"Kesemua dadah yang dirampas dipercayai boleh digunakan oleh seramai 206,405 penagih," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Tambahnya, suspek yang beralamat di Kota Tinggi, Johor kini direman selama tujuh hari bermula dari tarikh dia ditahan sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28