Ramai bukan Melayu tak daftar PADU bukan sebab kurang percaya - Rafizi

Rafizi ketika sesi soal jawab Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. Foto Bernama
Rafizi ketika sesi soal jawab Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menafikan spekulasi berlaku kurang kepercayaan terhadap kerajaan menjadi punca jumlah pendaftaran masyarakat bukan Melayu dalam sistem berkenaan rendah.

Ahli Parlimen Pandan itu sebaliknya menjelaskan, sebahagian besar golongan berkenaan tidak biasa menerima bantuan daripada kerajaan secara bulanan sekali gus menjadi faktor perkara itu berlaku.

“Sebab itu, mereka tidak banyak (mendaftar) berada dalam sistem kerajaan. Mereka merasakan berada dalam golongan M40 dan ke atas, maka tidak layak menerima apa-apa bantuan.

“Itulah sebabnya, bukan sebab ‘trust deficit’ (kurang kepercayaan),” katanya ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai faktor orang bukan Melayu kurang mendaftar PADU dan adakah berpunca daripada kurang kepercayaan dalam kalangan mereka.

Sebelum ini, Rafizi membangkitkan kebimbangan mengenai jumlah pendaftaran rakyat Malaysia dalam sistem PADU masih rendah terutama penduduk di Lembah Klang dan bukan Melayu.

Dalam pada itu, Rafizi turut memaklumkan, berlaku peningkatan mendadak dalam pendaftaran hingga melepasi lapan juta setakat Isnin.

Beliau juga yakin rakyat akan memahami objektif kerajaan menerusi sistem berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itu di negeri-negeri yang ramai penduduk B40 (berpendapatan rendah), yang merasakan mereka layak menerima bantuan, negeri itulah yang menunjukkan pendaftaran lebih tinggi.

“Di negeri lebih bandar, merasakan (penduduk) mereka tidak perlu mendapat bantuan, kita lihat ada sekitar lima ke 10 peratus lebih rendah berbanding negeri-negeri di Pantai Timur dan di Utara,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28