Pendaftaran PADU dijangka meningkat menjelang tarikh akhir

Rafizi Ramli. - Foto: Bernama
Rafizi Ramli. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Ekonomi menjangkakan pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) meningkat dengan ketara menjelang tarikh akhir, Ahad ini.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, pendaftaran PADU telah menyaksikan peningkatan yang mendadak dalam kadar pendaftaran sepanjang minggu lalu.

"Setakat 11:59 malam pada 24 Mac, bilangan pendaftaran meningkat kepada 7.7 juta, daripada 5.4 juta yang direkodkan pada 17 Mac manakala kadar pendaftaran dalam kalangan individu berumur 18 tahun ke atas pula telah mencecah 35.1 peratus.

"Kami optimis bahawa angka ini akan terus meningkat, berpotensi mencapai atau bahkan melebihi 50 peratus menjelang tarikh akhir yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Justeru Rafizi menasihati orang ramai agar tidak menunggu hingga saat akhir untuk mendaftar.

"Dengan tarikh tutup yang semakin hampir, kami menjangkakan pendaftaran harian akan terus meningkat dengan ketara.

"Daftar dan kemas kini data anda untuk mengelakkan keciciran berterusan," katanya.

PADU dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu dan pendaftarannya dibuka sehingga 31 Mac 2024 bagi membolehkan orang ramai mengemas kini serta mengesahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.

Artikel Berkaitan: