Kerajaan tumpu latihan STEM, tingkat pelaburan negara - PM

Anwar ketika Sidang Dewan Rakyat pada Selasa. Foto Bernama
Anwar ketika Sidang Dewan Rakyat pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memberi tumpuan kepada latihan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) peringkat tertinggi bagi memastikan pengukuhan serta peningkatan pelaburan asing ke Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini negara kekurangan latihan dalam pendidikan Matematik, Sains, kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI) dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) peringkat itu.

“Minat pelajar dalam bidang STEM merosot dan ini membimbangkan. KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia) telah mengambil beberapa langkah bersama beberapa kumpulan pendidikan lain untuk menggesa ibu bapa memberi tumpuan semula kepada Matematik dan Sains.

“Ini sedang diusahakan secara lebih serius,” katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai rancangan dan strategi kerajaan untuk mempercepatkan matlamat mencapai nisbah 60:40 sains-sastera supaya lebih ramai saintis dalam pelbagai bidang jurutera.

Dalam pada itu Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, kerajaan menetapkan syarat supaya setiap syarikat pelabur asing mewujudkan pusat kecemerlangan di negara ini agar latihan dapat dilaksanakan.

“Kita kekurangan jurutera dan yang dilahirkan pula walaupun diterima baik, masih menganggap ada kekurangan (melibatkan) kemahiran atau keterampilan peringkat tertinggi.

“Oleh itu, penumpuan terhadap TVET dan kejuruteraan diberikan. Saya setuju sekiranya Malaysia tidak melakukan apa-apa yang mendesak (kerana) kita akan kerugian.

Artikel Berkaitan:

“Tumpuan sekarang bukan lagi industri berkemahiran rendah (tetapi) industri berkemahiran tinggi yang memerlukan kecekapan tinggi. Sebab itu saya minta universiti mengadakan fakulti AI bagi memenuhi sebahagian keperluan,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28