Pengarah agensi penguatkuasaan ditahan, terima rasuah lindung aktiviti haram

SPRM tahan tiga individu termasuk pengarah agensi penguatkuasaan negeri dipercayai terbabit dengan rasuah.
SPRM tahan tiga individu termasuk pengarah agensi penguatkuasaan negeri dipercayai terbabit dengan rasuah.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk pengarah agensi penguatkuasaan negeri yang dipercayai terbabit dengan rasuah bagi melindungi aktiviti kemasukan barangan berharga melalui pintu masuk laut negara.

Menurut sumber, kesemua lelaki berkenaan ditahan berasingan pada Sabtu lepas dipercayai terbabit melindungi aktiviti kemasukan barangan berharga tanpa perlu pengisytiharan atau kebenaran pihak berkuasa.

Beliau berkata, suspek utama iaitu lelaki berumur 50-an disyaki menerima suapan berjumlah kira-kira RM100,000 secara tunai pada 23 Mac lepas di Shah Alam, Selangor bagi melindungi aktiviti yang merupakan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967.

"Hasil penahanan suspek utama di Klang, Selangor, SPRM turut menyerbu kediamannya di lokasi sama dan menemukan sejumlah wang bernilai RM100,000 dipercayai sebahagian daripada hasil suapan terbabit.

"Suspek kedua dan ketiga yang merupakan orang awam ditahan pada hari sama di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya,” katanya.

Kesemua suspek kes itu kini direman selama tiga hari hingga esok setelah Penolong Kanan Pendaftar Nurul Farhana Mohd Najib membenarkan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini pada Ahad.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

"Siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengesan bukti dan dalang lain yang terlibat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28