Nasi kerabu berulat bukan di bazar Ramadan Kuala Pilah - MDKP

Ulat yang ditemui dalam nasi kerabu yang dikongsi seorang pelayar Facebook. Foto tangkap layar video tular di Facebook
Ulat yang ditemui dalam nasi kerabu yang dikongsi seorang pelayar Facebook. Foto tangkap layar video tular di Facebook
A
A
A

KUALA PILAH - Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) menafikan kejadian tular membabitkan jualan masakan nasi kerabu berulat berlaku di Bazar Ramadan Dataran Melang di sini.

Yang Dipertua MDKP, Mohd Faizal Abd Manap berkata, penguat kuasa MDKP bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah telah ke lokasi pada Isnin sebaik mendapat maklumat mengenai kejadian itu.

"Semakan daripada empat lot yang berdaftar untuk jualan nasi kerabu hanya dua lot sahaja yang yang digunakan untuk berniaga, tinggal dua lot yang berniaga itu merupakan peniaga yang sama.

"Hasil daripada pemeriksaan makanan bersama Pejabat Kesihatan Daerah mendapati masakan yang dijual adalah baharu dan tiada kesan makanan lama yang digoreng semula," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum itu tular satu rakaman video di Facebook yang menunjukkan nasi kerabu berulat.

Video itu kemudiannya mendapat pelbagai reaksi netizen antaranya meluahkan rasa kesal selain mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

Mohd Faizal berkata, semakan juga mendapati bungkusan makanan yang digunakan oleh peniaga tersebut lain daripada yang ditularkan.

"Apabila pengadu cuba dihubungi, pengadu sendiri tidak dapat mengesahkan maklumat yang tepat tentang sumber aduan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Dikhuatiri aduan ini bersifat fitnah, berkemungkinan dibeli tempat lain tetapi memburukkan bazar di Kuala Pilah.

"Peniaga juga mengakui tidak melakukan perkara yang sedemikian (seperti video tular)," katanya.

Justeru katanya, MDKP menafikan perkara terbabit berlaku di bazar di itu.

"Orang ramai terutamanya pelayar media sosial sering kali diingatkan supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan di media sosial tanpa sumber sahih dan bukti yang mencukupi," katanya.

Katanya, tindakan undang-undang boleh diambil atas perkara yang mengundang fitnah.

"Bagaimanapun jika ada aduan berkaitan dengan makanan atau harga membabitkan peniaga bazar, orang ramai boleh membuat aduan terus ke MDKP dengan menyatakan maklumat lengkap seperti tarikh dan nombor gerai yang terlibat untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28