Bersih gesa Anwar laksana reformasi pelantikan ahli SPR

Bersih gesa Anwar segera laksana reformasi proses pelantikan ahli-ahli SPR terutamanya bagi jawatan pengerusi.
Bersih gesa Anwar segera laksana reformasi proses pelantikan ahli-ahli SPR terutamanya bagi jawatan pengerusi.
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera melaksanakan reformasi proses pelantikan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terutamanya bagi jawatan pengerusi.

Menurut kenyataan itu, gesaan tersebut dibuat susulan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh bakal bersara wajib pada bulan Mei dan sehingga kini SPR masih mempunyai satu kekosongan Ahli Suruhanjaya iaitu Ahli SPR bagi Sabah.

“Bersih ingin menegaskan bahawa reformasi pelantikan ini adalah mustahak, tambahan pula Pengerusi SPR seterusnya berkemungkinan besar akan mempunyai tanggungjawab mengkaji dan melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Ahli-Ahli SPR perlu dilantik melalui mekanisme telus, terbuka, berakauntabiliti dan inklusif bagi mendapatkan kepercayaan semua pihak berkepentingan terhadap kebebasan serta kemandirian SPR.

“Ini kerana, ia mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk melaksanakan pilihan raya dan persempadanan semula,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Dalam pada itu, Bersih mendakwa agenda reformasi pilihan raya bagi memperkukuhkan kebebasan institusi SPR dan memperkasa sistem pilihan raya masih lagi belum dititikberatkan oleh kerajaan.

Kata kenyataan itu, gabungan berkenaan sebelum ini telah mencadangkan agar mekanisme pelantikan ahli-ahli SPR perlu melalui Jawatankuasa Tetap Pilihan Hal Ehwal Pilihan Raya agar proses tersebut dapat diteliti secara inklusif dan demokratik oleh ahli Parlimen kerajaan dan juga pembangkang.

“Kami juga mengingatkan bahawa manifesto pilihan raya kedua-dua Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah menjanjikan bahawa pelantikan bagi jawatan utama seperti pengerusi SPR akan melalui Jawatankuasa Parlimen,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Bersih turut mempersoal tindakan kerajaan dalam sudut reformasi pilihan raya melibatkan kesediaan pihak kerajaan dan SPR untuk melaksanakan kaedah baharu bagi pengundi tidak hadir terutama di Sabah dan Sarawak.

Katanya, hal itu amat penting kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bakal dilangsungkan pada tahun hadapan dan pihak SPR perlu bersedia bagi menghadapi pilihan raya tersebut untuk memudahkan pengundi-pengundi luar kawasan pulang mengundi di Sabah.

“Bersih mencadangkan agar pengundi itu dibenarkan menjadi pengundi awal di tempat mereka bekerja atau belajar.

“Caranya dengan SPR menyediakan satu pusat pengundian mega di setiap negeri di Semenanjung dan kiraan undi dibuat di pusat tersebut pada hari pengiraan undi,” ujarnya.

Seterusnya, Bersih turut menyentuh mengenai Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya agar lebih berkesan terutama dalam memberi kuasa kepada SPR untuk menguatkuasakan undang-undang yang bersesuaian.

Jelas kenyataan itu, akta berkenaan perlu direformasikan agar terus relevan dan menjadikan proses kempen pilihan raya lebih bersih dan adil.

“Akta sedia terlalu lapuk dan tidak dikemas kini sekian lama. Selain itu, masih belum ada peruntukan untuk mengawal penggunaan sumber dan jentera kerajaan semasa pilihan raya serta keperluan audit perbelanjaan raya oleh calon pilihan raya serta parti politik,” kata kenyataan itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!