Persempadanan kawasan pilihan raya: Bersih saran SPR luaskan perbincangan

Bersih mencadangkan SPR meluaskan perbincangan dan libat urus dengan semua pemegang taruh sebelum proses persempadanan kawasan pilihan raya dimulakan.
Bersih mencadangkan SPR meluaskan perbincangan dan libat urus dengan semua pemegang taruh sebelum proses persempadanan kawasan pilihan raya dimulakan.
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meluaskan perbincangan dan libat urus dengan semua pemegang taruh bagi mendapatkan pandangan menyeluruh sebelum proses persempadanan kawasan pilihan raya dimulakan.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan berkata, ia bertujuan meredakan kebimbangan mengenai kebarangkalian wujudnya persempadanan yang menguntungkan sesetengah pihak sahaja.

“Menerusi perbincangan atau libat urus ini, SPR boleh mendengar pandangan pelbagai pihak berkepentingan dan memastikan proses persempadanan tersebut dapat dilakukan dengan lancar, adil serta seimbang.

“Pada masa sama, kebimbangan yang diutarakan memberi justifikasi bahawa laporan cadangan Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) dinyahklasifikasikan untuk dibuka kepada umum.

“Penyahklasifikasian ini juga menuntut Jawatankuasa Pilihan Khas (JPKP) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi untuk memperhalusi laporan tersebut bagi memastikan agenda reformasi sistem pilihan raya dan institusi segera direalisasikan,” katanya pada Sabtu.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, proses kajian persempadanan semula oleh SPR di Sarawak telah bermula tahun ini manakala di Sabah pada 2025 manakala di Semenanjung Malaysia pada 2026.

Beliau berkata, bagi melaksanakan proses berkenaan, SPR akan membuat kajian dalam tempoh dua tahun dan selepas tempoh tersebut, satu laporan yang mengandungi penemuan-penemuan SPR akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambah kenyataan itu, proses persempadanan berkenaan perlu dilaksanakan untuk memastikan keadilan dan keseimbangan kuasa undi terutama di kawasan pengundian yang terlalu ramai.

Artikel Berkaitan:

“Bersih memahami sewaktu pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan undi 18 pada akhir 2021, hampir enam juta pengundi baharu telah dimasukkan.

“Perkara ini membawa kepada ketidakseimbangan dan ketidakadilan taburan jumlah pengundi yang amat ketara antara kawasan Parlimen seperti Bangi dan Sabak Bernam di Selangor.

“Perbezaan ketara ini tidak menyemangati Perlembagaan Persekutuan Bahagian 1, 2 (c), Jadual Ketiga Belas, Bahagian 1, Seksyen 2 (c) yang memperuntukkan kawasan pilihan raya dalam negeri sama, bilangan pengundinya perlu 'lebih kurang sama banyak' dengan beberapa pengecualian tertentu,” ujarnya.