Denda hampir RM1 juta kesalahan buang sampah

Mohd Jafni (empat dari kanan) menyantuni peniaga di Bazar Ramadan Jalan Enggang, Kulai, pada lewat petang Ahad
Mohd Jafni (empat dari kanan) menyantuni peniaga di Bazar Ramadan Jalan Enggang, Kulai, pada lewat petang Ahad
A
A
A

KULAI - Denda hampir RM1 juta dikeluarkan SWM Environment terhadap pihak yang membuang sampah secara haram di Johor sejak 2018 sehingga bulan lalu.

Pengarah SWCorp Negeri Johor, Zainal Fitri Ahmad berkata, jumlah itu secara keseluruhan melibatkan 56 kes yang didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 71 (1) Akta 672 Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

"Semuanya berjumlah RM919,000 dengan Johor Bahru mencatatkan jumlah denda tertinggi iaitu sebanyak RM528,000 dengan 31 kes yang sudah selesai didakwa melibatkan 16 individu dan dua syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran Sempena Bulan Ramadhan Tahun 2024 di Bazar Ramadan Jalan Enggang Bandar Putra di sini pada lewat petang Ahad.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Mohd Fahmi Salam dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin.

Dalam perkembangan lain, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, peniaga bazar Ramadan berdepan tindakan denda atau pembatalan lesen sekiranya didapati tidak mengutamakan aspek kebersihan selepas tiga kes dilaporkan berkenaan makanan rosak di bazar Ramadan setakat ini.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengendalikan sebarang aduan berhubung perkara itu.

"KKM ada rutin untuk membuat pemeriksaan di bazar Ramadan, sama ada peniaga memenuhi spesifikasi ditetapkan kementerian itu atau tidak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangain lain, beliau berkata, menerusi tempoh empat bulan kebelakangan ini sebanyak 545 kompaun dikeluarkan oleh penguat kuasa daripada 16 PBT melibatkan RM136,550 dalam melaksanakan agenda Johor Bersih.

Menurutnya, kompaun yang dikenakan antara RM50 hingga RM250 itu dikenakan kepada pesalah yang melakukan kesalahan membuat sampah kecil di tempat awam seperti puntung rokok, bungkusan makanan, kotak minuman dan sebagainya.

"Dalam tempoh empat bulan sahaja antara November hingga bulan lalu, seramai 545 individu di seluruh negeri ini dikenakan tindakan kompaun melibatkan jumlah keseluruhan RM136,500. Dalam tempoh sama, sebanyak 155 notis telah dikeluarkan oleh kesemua 16 PBT," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!