Tidak mudah 'dibeli' walau wang sogokan RM200,000 terhidang depan mata

Samsuddin menunjukkan sijil dan anugerah yang diperolehi.
Samsuddin menunjukkan sijil dan anugerah yang diperolehi.
A
A
A

KOTA BHARU - Tidak mudah 'dibeli' sindiket dadah walaupun beberapa kali wang sogokan RM200,000 terhidang di depan mata.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, Asisten Superintenden Samsuddin Paweddai, 44, berkata, dia menolak sogokan tersebut kerana berpegang kepada prinsip ‘pekerjaan adalah amanah ALLAH’.

Samsuddin berkata, kerap ditawarkan rasuah semasa bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan semasa menyediakan fail kes melibatkan tangkapan ke atas sindiket-sindiket dadah.

“Mereka menawarkan rasuah untuk melepaskan diri tetapi saya tidak berkompromi dan semasa bertugas di IPD Pasir Mas pada tahun 2018, saya membuat rampasan dadah dalam jumlah yang besar, satu sindiket sekali lagi menawarkan rasuah tetapi tetap saya tolak.

“Walaupun jumlah sogokan hingga RM200,000 saya tetap tidak menerimanya atas dasar integriti kerana tugas membanteras dadah ini adalah amanah daripada ALLAH selain soal maruah yang tidak boleh dijual beli,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 peringkat Kontinjen Kelantan di IPK, di sini pada Isnin.

Muhamad Zaki (empat dari kiri) bermesra dengan kesemua penerima anugerah di IPK Kota Bharu pada Isnin.
Muhamad Zaki (empat dari kiri) bermesra dengan kesemua penerima anugerah di IPK Kota Bharu pada Isnin.

Pada majlis itu, Samsuddin menerima Anugerah Integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tahun 2024 daripada Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Sri Azri Ahmad bagi peringkat Kontinjen Kelantan yang disampaikan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Samsuddin yang berasal dari Kunak, Sabah berkata, selain sering terdedah dengan tawaran rasuah, mereka juga berdepan risiko penjenayah berbahaya kerana melibatkan sindiket yang memiliki senjata api.

Artikel Berkaitan:

“Selama 19 tahun saya berkhidmat dalam PDRM, paling tidak dapat dilupakan apabila diacu parang oleh tauke dadah dan insiden terjatuh cerun hingga mengalami kecederaan serius di bahagian muka semasa mengejar penjenayah.

“Bagi saya mengekang kemasukan dadah adalah tugas berat kerana mereka berselindung dengan sindiket, bersenjata api dan mempunyai wang yang mampu menggugat integriti polis, siapa yang gagal menolak akan lebih awal tewas seterusnya memusnahkan diri, keluarga, agama, bangsa serta negara,” tegasnya.

Samsuddin (kiri) menerima anugerah yang disampaikan oleh Muhamad Zaki (kanan).
Samsuddin (kiri) menerima anugerah yang disampaikan oleh Muhamad Zaki (kanan).

Katanya, turut menekankan kepada 18 anggota di bawah seliannya untuk sentiasa ikhlas, berintegriti dan tidak terlibat dengan sebarang salah laku disiplin yang boleh memusnahkan kerjaya.

“Kerja yang dengan ikhlas akan membawa kita mencapai kejayaan tanpa disedari.

“Saya masih berbaki 16 tahun untuk berkhidmat bersama PDRM dan berhasrat mengekalkan integriti terbaik selain sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa kerja ini diniatkan kerana ALLAH dan agama,” katanya.

Selain Samsuddin, mereka yang turut menerima anugerah sama ialah Inspektor Abdul Halim Omar dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Pasir Mas; Sarjan Mahaili Md Yaacob (Cawangan Pengangkutan IPD Bachok); Sarjan Muhamad Hasan Ismail (Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tanah Merah); dan Koperal Mohd Nazrin Ghazali (Hal Ehwal Awam IPK Kelantan).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!