Tiada wabak influenza di Terengganu setakat ini

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiada wabak influenza (ILI) dilaporkan di Terengganu setakat ini sepertimana yang berlaku di beberapa negeri lain, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau kes influenza melalui dua kaedah iaitu dengan pengambilan sampel di klinik sentinel dan memantau survelan kes di semua klinik kesihatan dan hospital.

"Berdasarkan pemantauan survelan kes ILI di semua klinik kesihatan dan hospital di Terengganu, didapati belum ada wabak sebegitu hingga memerlukan sekolah mahupun taska ditutup.

ARTIKEL BERKAITAN: Influenza: Pesakit wajib dikuarantin elak penularan virus

"Namun, sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan influenza, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap membasuh tangan dengan mengguna air dan sabun, mengamalkan adab batuk yang baik dan mengamalkan cara hidup sihat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Golongan berisiko tinggi adalah amat digalakkan untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan oleh kebanyakan fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara.

"Bagi mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza adalah dinasihatkan untuk berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai. Sekiranya perlu ke tempat awam, mereka dinasihat memakai penutup hidung dan mulut dengan betul bagi mengelakkan penularan jangkitan melalui titisan pernafasan.

"Mereka juga perlu menutup hidung dan mulut dengan tisu, tuala atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Seterusnya, tisu yang telah digunakan perlu dibuang dengan segera ke dalam tong sampah," katanya.

Individu terbabit mesti mengelak daripada berkongsi peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan sebagainya dengan individu yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk atau sakit tekak yang berterusan," katanya. - Bernama