Wujudkan industri hiliran di kawasan daerah termiskin - Bung Moktar

Bung Moktar beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Berbuka Bersama UMNO Zon 3 di Dewan Masyarakat di Papar.
Bung Moktar beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Berbuka Bersama UMNO Zon 3 di Dewan Masyarakat di Papar.
A
A
A

PAPAR - Kerajaan negeri perlu mewujudkan industri hiliran bagi kawasan yang mempunyai sumbernya sendiri sebagai salah satu alternatif untuk mengeluarkan kawasan yang disenaraikan sebagai daerah termiskin negara.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau mengakui dua daerah di bawah parlimennya antara disenaraikan sebagai daerah termiskin.

"Memang Kinabatangan dan Tongod antara dua daerah termiskin dalam negara ini sedangkan hakikatnya dulu pernah satu ketika menyumbang hasil berbilion dalam industri kayu balak dan sekarang ini pun ada limpahan tanaman kelapa sawit.

"Tetapi tidak ada rancangan yang rapi untuk membantu dalam industri hiliran seperti memproses kelapa sawit di Kinabatangan. Sedangkan di Kinabatangan ada 49 kilang yang terbanyak di Malaysia tetapi tiada usaha daripada kerajaan negeri menjurus ke arah membuat industri hiliran dengan produk sawit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Bersama UMNO Zon 3 di Dewan Masyarakat di sini pada malam Sabtu.

Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata demikian ketika ditanya berhubung kawasan Kinabatangan yang disandangnya antara yang disenarai sebagai daerah termiskin.

Ketika diminta mengulas kemajuan yang telah dibawa di kawasan tersebut, Bung Moktar memaklumkan selepas mengambil alih Parlimen Kinabatangan banyak kemudahan yang dibangunkan di kawasan itu.

"Sebelum saya menjadi ahli parlimen, Kinabatangan ini hutan tebal tetapi bila saya ambil alih perlahan-lahan dan alhamdulillah jalan raya hanya tinggal 20 peratus yang belum diturap. Selebihnya di kawasan Tongod, Pinangah dan daerag terpencil sudahpun diturap.

Artikel Berkaitan:

"Pelbagai program dan rancangan daripada kerajaan Persekutuan telah diluluskan. Bagi bekalan air bersih masih ada 30 peratus kampung-kampung belum ada dan ini kita telah rancang sebab kita tidak mahu lagi terikat dengan keadaan rakyat yang semakin susah dan menderita," katanya.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memaklumkan lapan daerah di Sabah menunjukkan kadar kemiskinan tegar lebih tinggi berbanding kadar nasional.

Lapan daerah itu ialah Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!