Kerjasama PRN Sabah diputuskan BN Pusat - Bung Moktar

Bung Moktar ketika berucap pada Majlis Berbuka UMNO Sabah Zon 6 di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu.
Bung Moktar ketika berucap pada Majlis Berbuka UMNO Sabah Zon 6 di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu.
A
A
A

LAHAD DATU - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengakui sebarang keputusan sama ada BN bertanding secara solo atau bekerjasama dengan parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang hanya akan diputuskan oleh BN Pusat.

Bagaimanapun beliau menjelaskan keputusan itu dibuat atas cadangan daripada BN Sabah yang dilakukan secara konsensus dengan rakan komponen yang lain.

"Setakat ini BN Sabah belum memuktamadkan sebarang keputusan untuk berkerjasama dengan parti lain.

"Bagaimanapun perbincangan awal memang ada diadakan dan akan kita akan putusakan pada masa yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka UMNO Sabah Zon 6 di Dewan Sri Perdana di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hassan yang mengatakan sebarang keputusan BN Sabah berkerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN17 akan datang akan diputuskan oleh BN Pusat.

Menurut Bung Moktar lagi, masih terlalu awal bagi BN Sabah menyatakan soal kerjasama dengan parti lain.

"Malah Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini pernah menyebut soal kerjasama BN bersama parti lain bagi menghadapi PRN17 hanya akan ditentukan selepas DUN Sabah bubar," katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan dalam soal memilih rakan gabungan dari parti lain UMNO dan BN Sabah perlu lebih teliti dan berhati-hati selain hanya ingin menjalin kerjsama dengan parti yang menghormati perjanjian antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

"Proses gabungan dengan parti lain sebelum ini telah mengajar UMNO dan BN Sabah untuk menjadi matang dalam menjalin kerjasama dengan parti lain di negeri ini," katanya.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu turut menolak kemungkinan parti mereka akan bekerjasama semula dengan gabungan sebelum ini.

"Di peringkat awal lagi mereka telah menipu dari soal pemilihan kawasan dan calon semasa PRN16. Malah turut menipu dalam pembentukan Kabinet sebaik sahaja kerajaan dibentuk dalam gabungan tersebut.

"Dari awal lagi UMNO dan BN Sabah sudah ditipu, kita telah putuskan meletakkan calon di kawasan yang dipersetujui untuk calon BN, mereka pula letakkan calon bebas mencabar calon BN malah turut berkempen dan memberi habuan kepada pengundi demi untuk memastikan calon BN tewas.

"Jadi tidak ada dalam kamus BN Sabah untuk menjalin kerjasama dengan mereka," tegasnya.