Bung Moktar dedah ditawar jawatan Kabinet

Bung Moktar Radin - Foto Bernama
Bung Moktar Radin - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengakui beliau turut ditawarkan jawatan dalam Kabinet Persekutuan menerusi rombakan Kabinet pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kinabatangan itu menolak tawaran tersebut kerana ingin memberikan tumpuan kepada parti khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

"Ya, saya ditawarkan jawatan. Bagaimanapun, saya menolak kerana ingin memberikan tumpuan kepada tanggungjawab saya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah bagi memperkukuhkan kedudukan UMNO yang bakal berhadapan dengan PRN17 akan datang," katanya di sini pada malam Khamis.

Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berkata, tawaran itu sekali gus menafikan andaian atau persepsi pelbagai pihak UMNO Sabah dipinggirkan dalam rombakan Kabinet kali ini.

Persepsi ini dimainkan oleh pihak tertentu di pelbagai media sosial dan menghangatkan lagi tanggapan tersebut apabila Ahli Parlimen Beaufort yang mewakili UMNO Sabah, Datuk Siti Aminah Aching yang sebelum ini dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi turut digugurkan dalam rombakan tersebut.

Sehubungan itu, Bung Moktar menjelaskan bahawa soal pelantikan Jemaah Menteri merupakan hak mutlak Perdana Menteri yang tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

"Pihak luar hanya pandai membuat persepsi kita di dalam lebih maklum tujuan mereka hanya ingin melemahkan UMNO khususnya di Sabah.

"Justeru abaikan tanggapan negatif ini yang hanya bertujuan melemahkan UMNO Sabah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau lagi, pengguguran Aminah sebagai Timbalan Menteri tidak mencerminkan UMNO Sabah dipinggirkan dalam rombakan tersebut memandangkan UMNO turut diberikan ruang dalam rombakan baharu ini.

"Ia dapat dilihat apabila Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik menjadi Menteri Perladangan dan Komoditi dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dibawa masuk semula dalam jemaah kabinet dan dilantik menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

"Pelantikan ini sudah tentu memberi ruang atas kapasiti mereka dalam organisasi parti," katanya.