Tak perlu turunkan kuasa pantau harga kepada PBT - Kor Ming

Kor Ming (lima dari kanan) turut menyampaikan sumbangan RM300,000 kepada Dewan Perhimpunan Cina Perak sempena Majlis Pecah Tanah Bangunan Baharu Dewan Perhimpunan Cina Perak di Jalan Yeop Abdul Rani, pada Sabtu.
Kor Ming (lima dari kanan) turut menyampaikan sumbangan RM300,000 kepada Dewan Perhimpunan Cina Perak sempena Majlis Pecah Tanah Bangunan Baharu Dewan Perhimpunan Cina Perak di Jalan Yeop Abdul Rani, pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Cadangan penurunan kuasa penguatkuasaan pemantauan harga barang oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan satu keperluan ketika ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, KPDN yang diterajui Datuk Armizan Mohd Ali melaksanakan tugas memantau harga barang itu dengan baik.

"Negara kita ada rukunnya, ada juga sistem. Kedaulatan undang-undang adalah rukun negara.

"Kuasa KPDN sekarang berjalan dengan baik yang mana dari segi pelaksanaannya perlu dipertingkatkan dan saya yakin di bawah pimpinan Datuk Armizan, usaha ini akan diperhebatkan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Bangunan Baharu Dewan Perhimpunan Cina Perak di Jalan Yeop Abdul Rani, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mahu langkah penguatkuasaan dilakukan secara agresif bagi mengekang penjualan barangan asas utama, terutama beras dengan harga tidak masuk akal.

Tindakan agresif itu termasuk melakukan pemeriksaan mengejut ke setiap kilang, pasar raya, kedai runcit serta kedai kecil seperti kedai Aceh bagi menjalankan pemeriksaan teliti terhadap aktiviti jualan di premis berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Kor Ming mengulangi pendirian bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu menyalahgunakan lesen PBT dengan menyewakan premis kepada warga asing.

Katanya, sehingga kini sebanyak 26,105 lesen PBT dibatalkan dan 489 daripadanya merupakan kesalahan menyalahgunakan dengan memberi sewa kepada warga asing.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ada lagi pihak yang degil, kompaun akan dikeluarkan kepada mereka dan juga senarai hitamkan rakyat yang salahgunakan lesen PBT.

"Operasi ini akan diperhebatkan. Ini bukti kerajaan Madani membela nasib rakyat khususnya warganegara," katanya.

Mengenai dakwa penguasaan warga asing di pasar-pasar borong khususnya di Selayang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru, Kor Ming menjelaskan mereka bukan pemilik premis tetapi pekerja.

"Yang kerja dekat pasar borong adalah pekerja asing yang sah. Mereka adalah pekerja. Dia bukan peniaga.

"Tapi kadang-kadang ia beri persepsi seolah-olah gerai itu milik mereka (warga asing). Sebenarnya tidak, dia diupah untuk jadi pekerja dan memang ada permit untuk bantu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!