Nga Kor Ming terima nota ugutan

Kor Ming (kiri), nota ugutan itu ditemui di hadapan rumah keluarga Kor Ming di Ayer Tawar.
Kor Ming (kiri), nota ugutan itu ditemui di hadapan rumah keluarga Kor Ming di Ayer Tawar.
A
A
A

MANJUNG - [DIKEMAS KINI] Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menerima nota ugutan daripada individu tidak dikenali di sini pada Khamis.

Ugutan tertulis 'Nga Kor Ming (Jangan cabar Islam)' itu ditemui di hadapan rumah keluarga pemimpin DAP berkenaan di Ayer Tawar di sini sekitar jam 7.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, laporan kejadian berkenaan diterima daripada ibu mangsa berusia 76 tahun semasa wanita itu keluar dari rumah.

Menurutnya, didapati banyak kertas bertaburan di hadapan rumah mengandungi tulisan yang tertera perkataan dipercayai mempunyai niat tidak baik.

"Usaha mengesan individu terlibat sedang dilakukan. Punca kejadian masih belum diketahui setakat ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah melalui suatu komunikasi tanpa nama.

Katanya, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi akan kejadian itu kerana dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan.

"Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Fariq Nazmi Mohd Mustafa di talian 013-3317099 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!