Belum ada tangkapan kes nota ugutan Nga Kor Ming

Mohd Yusri
Mohd Yusri
A
A
A

IPOH - Tiada sebarang tangkapan dilakukan polis berkaitan siasatan kes nota berbaur ugutan terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang diletakkan di Ayer Tawar, Manjung pada 7 Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan masih diteruskan dengan merakam percakapan 11 saksi bagi mengesan individu terlibat.

"Kita masih lagi meneruskan siasatan. Kita sudah rakam percakapan 11 individu terdiri daripada ibu bapa Kor Ming dan jiran-jiran setempat.

"Kita telah membuat pemeriksaan rakaman video litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bagi membantu siasatan polis.

Mohd Yusri (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis pada perhimpunan sempena Sambutan Hari Polis ke-217 di Ipoh.
Mohd Yusri (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis pada perhimpunan sempena Sambutan Hari Polis ke-217 di Ipoh.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk kita lengkapkan kertas siasatan. Tiada tangkapan lagi setakat ini," katanya kepada pemberita pada perhimpunan sempena Sambutan Hari Polis ke-217 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Isnin.

Media melaporkan, ibu kepada Ahli Parlimen Teluk Intan itu menemui banyak kertas bertaburan di hadapan rumahnya dan melaporkan kepada polis.

Pada kertas itu terdapat ayat bertulis ‘Nga Kor Ming jangan cabar Islam’ dan wanita berusia 76 tahun itu percaya perkataan tersebut mempunyai niat tidak baik. Susulan laporan polis dibuat pengadu, polis membuka kertas siasatan dan mengklasifikasikan kes itu bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah melalui komunikasi tanpa nama.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!