Perak FC sukar lepaskan pemain ke Sukma sebab bajet

Bobie Farid
Bobie Farid
A
A
A

PERAK FC berkemungkinan tidak akan melepaskan pemain bawah 20 tahun mereka untuk menyertai Sukan Malaysia (Sukma) di Kuching, Sarawak Ogos depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin berkata, keputusan itu dibuat disebabkan faktor tajaan dan kewangan yang tidak mencukupi disediakan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.

Menurutnya, biarpun pada awalnya Perak FC bersetuju namun bajet yang disediakan hanya RM50,000 menyebabkan mereka terpaksa memikirkan semula keputusan tersebut.

"Kita ada kos untuk membina sendiri pemain. Kita buat kejohanan dua tahun berturut-turut untuk dapatkan pemain yang kita bina sekarang dan pemain bawah 20 tahun yang ada sekarang ini adalah skuad pembangunan untuk negeri Perak.

"Jadi risiko sebulan kami lepaskan pemain itu tidak boleh berharga RM50,000. Bukannya kita nak demand ke apa tetapi sekurang-kurangnya sama dengan negeri-negeri lain apa yang MSN bagi," katanya kepada pemberita di Stadium Perak di sini malam tadi.

Bobie Farid berkata, pihaknya memohon sumbangan peruntukan sekurang-kurangnya RM160,000 bagi membolehkan pemain dilepaskan untuk memastikan kebajikan pemain serta barisan kejurulatihan dijaga.

Katanya, Perak FC sudah banyak berkorban untuk bola sepak Perak dan pelbagai pelaburan sudah dibuat bagi memastikan pembangunan akar umbi tidak diabaikan.

Menurutnya, ketika ini Perak FC menguruskan lima pasukan yang menelan perbelanjaan besar.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah yang kita minta tak sampai lima peratus perbelanjaan setahun. Jadi pakailah budak sekolah sains untuk bina team. Mungkin RM50,000 cukup untuk bina team Sukma Perak silakan, kami tak mampu.

"Kita minta bukan banyak sekurang-kurangnya bantuan itu sama-sama sebab ini untuk negeri dan selama ini pun kita berkorban jiwa dan raga untuk Perak ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan isu tersebut didedahkan oleh Pengarah Pembangunan Belia Perak FC, Neow Choo Seong.

Untuk rekod, pasukan bola sepak Perak berjaya melengkapkan hatrik pingat emas acara Sukma edisi 2014, 2016 dan yang terakhir pada tahun 2018 di Ipoh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!