PM Kemboja beri anugerah kepada bekas wartawan sukan Malaysia

Hun Manet (kiri) anugerahkan Royal Order Monisarapon Mohaseng kepada S T Arasu, pada Jumaat. - Foto Bernama
Hun Manet (kiri) anugerahkan Royal Order Monisarapon Mohaseng kepada S T Arasu, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PERDANA Menteri Kemboja, Hun Manet menganugerahkan Royal Order Monisarapon Mohaseng kepada bekas wartawan sukan Malaysia yang kini terlibat dalam pengurusan acara sukan, S T Arasu, pada Jumaat lepas.

Arasu, 59, yang menyertai Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja sebagai perunding pada 2021 memainkan peranan penting dalam persediaan temasya dwitahunan itu yang menyaksikan Kemboja menjadi tuan rumah buat kali pertama dalam tempoh 64 tahun.

Bekas wartawan akhbar The Star itu berkhidmat sebagai perunding untuk Sukan SEA ke-32 dan Sukan Para ASEAN ke-12 yang masing-masing berlangsung pada Mei dan Jun lepas.

Majlis penganugerahan diadakan di Stadium Nasional Morodok Techo di Phnom Penh, sempena sambutan khas bagi menandakan kejayaan Kemboja menganjurkan temasya berkenaan.

"Ia merupakan satu pengiktirafan buat Malaysia dan rakyat dalam arena sukan di peringkat antarabangsa.

"Kemboja menganjurkan temasya ini buat pertama kali dan kami perlu berdepan pelbagai cabaran.

"Kepimpinan yang teguh dalam NOCC (Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja) dan semangat kerjasama berpasukan oleh setiap individu yang terlibat dalam penganjuran temasya ini telah menghasilkan kejayaan.

"Ia satu pencapaian yang menggembirakan dan saya tidak boleh lupakan," kata Arasu yang berasal dari Johor menerusi satu kenyataan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Anugerah itu diberikan kepada individu yang telah memberi sumbangan signifikan dalam bidang seni, pendidikan, literasi, kerja sosial atau sains.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Hashim memuji pencapaian Arasu atas sumbangan beliau dalam bidang sukan di peringkat antarabangsa.

"Saya gembira mengetahui rakyat kita telah diberikan pengiktirafan oleh kerajaan Kemboja. Ini satu penghormatan dan saya percaya beliau (Arasu) akan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang," katanya.

Sepanjang kerjaya kewartawanannya di Malaysia, Arasu telah membuat liputan meluas dalam sukan di peringkat tempatan dan antarabangsa serta menerima Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia sebanyak dua kali.

Beliau ketika ini merupakan Presiden Persatuan Kabaddi Kuala Lumpur, Timbalan Presiden Persatuan Kabaddi Malaysia dan Setiausaha Agung Persekutuan Kabaddi Antarabangsa.

Pada Jumaat, Hun Manet bersama-sama ribuan rakyat Kemboja meraikan kejayaan penganjuran Sukan SEA edisi ke-32 berkenaan yang menyaksikan negara itu menduduki tempat keempat dengan 81 emas, 74 perak dan 127 gangsa. - Bernama