Tarif air Perak naik, jamin tidak bebankan rakyat

Saarani ketika sidang akhbar pada Khamis.
Saarani ketika sidang akhbar pada Khamis.
A
A
A

BAGAN DATUK - Kadar tarif air di Perak akan dinaikkan selaras dengan usaha kerajaan melakukan semakan semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kenaikan kadar baharu itu adalah perlu mengambil kira semakan terakhir terhadap tarif air di negeri ini lebih 30 tahun lalu.

Bagaimanapun menurutnya, kerajaan negeri akan memastikan kadar baharu itu nanti tidak membebankan rakyat.

"Kita akan berlaku adil terhadap kedua-dua pihak iaitu pengguna dan operator sebab dalam hal ini, operator juga memerlukan wang untuk menguruskan bekalan air di negeri.

"Jadi kita tidak akan membebankan rakyat, memadai kita akan cuba sedaya upaya untuk berlaku adil kepada kedua-dua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Laman Perak Sejahtera di Taman Agroteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Bagan Datuk pada Khamis.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Pengarah Mardi Perak, Zaiha Zeeti Mohamad Yusob.

Saarani berkata, dalam Mesyuarat Exco pada Rabu, kerajaan negeri telah diberikan taklimat daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berhubung dasar air negara dan semakan semula tarif air untuk seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Saarani (kanan) menyaksikan demo inovasi penghasilan kelapa telur menggunakan pisau tanduk sempena erasmian Laman Perak Sejahtera di Taman Agroteknologi Mardi Bagan Datuk pada Khamis.
Saarani (kanan) menyaksikan demo inovasi penghasilan kelapa telur menggunakan pisau tanduk sempena erasmian Laman Perak Sejahtera di Taman Agroteknologi Mardi Bagan Datuk pada Khamis.

Katanya, buat masa ini, kerajaan negeri belum membuat ketetapan peratusan kenaikan tarif air tersebut.

"Ketetapan di setiap negeri ini berbeza-beza, jadi kita akan buat kajian terlebih dahulu untuk melihat berapa kadar kenaikan yang perlu," katanya.

Berdasarkan semakan di laman rasmi Lembaga Air Perak (LAP), tarif air yang dikenakan kepada pengguna domestik di Perak ketika ini adalah RM0.30 bagi penggunaan sifar hingga 10 meter padu (m³); RM0.70 (11-20m³) dan RM1.03 (lebih 20m³).

Media melaporkan, tarif air domestik di semua negeri akan disemak awal tahun hadapan.

Semakan tersebut dijangka menyaksikan kenaikan tarif bagi menampung kos operasi yang tidak lagi mampu ditanggung oleh operator yang menguruskan bekalan air di negeri-negeri.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi dilapor berkata, semakan tarif air tersebut telah dipersetujui oleh semua kerajaan negeri selepas ada antara negeri-negeri terbabit tidak pernah dikaji semula sehingga 40 tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!