Sedekah hendaklah diberi dengan ikhlas

Abdul Rahman berkata setiap pemberian yang ikhlas kepada mana-mana individu tidak kira mereka sindiket pengemis atau sebagainya tetap diterima ALLAH.
Abdul Rahman berkata setiap pemberian yang ikhlas kepada mana-mana individu tidak kira mereka sindiket pengemis atau sebagainya tetap diterima ALLAH.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada kaedah tertentu yang ditetapkan dalam agama Islam bagi membolehkan pahala seseorang yang membuat kebaikan bersedekah diterima asalkan pemberian itu ikhlas.

Bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, Islam tidak pernah mempersoalkan siapa individu yang wajar menerima wang berkenaan dan tujuan sedekah itu dilakukan.

“Kalau seseorang itu mempertikaikan ke mana wang itu akan digunakan, ia tidak lagi digelar sedekah kerana tindakan mereka dianggap tidak ikhlas.

“Dalam konteks sedekah, ia bermaksud sumbangan yang diberikan kepada seseorang dengan ikhlas. Sekiranya kita mempertikai siapa yang patut terima dan ke mana wang itu akan pergi (digunakan) maka sia-sia sahaja kita bersedekah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ketika ditanya mengenai lambakan warga asing mengemis yang dikatakan mengambil kesempatan di atas kemurahan orang Islam, Abdul Rahman berkata, hal itu tidak sepatutnya dijadikan sebagai faktor untuk berhenti bersedekah.

Menurutnya, orang yang memberi wang kepada seseorang dengan niat bersedekah tetap menerima ganjaran pahala daripada ALLAH SWT.

“Usah khuatir, setiap pemberian yang ikhlas kepada mana-mana individu tidak kira mereka sindiket pengemis atau sebagainya tetap diterima ALLAH.

“Soal sindiket mengemis dan menipu sebagai fakir miskin itu antara mereka dengan ALLAH. Jika mereka menipu dan mengambil kesempatan maka hukumnya haram,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu di MELAKA, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Halyjah Mohamad berkata, pada kebiasaannya bilangan peminta sedekah akan bertambah setiap kali Ramadan berbanding bulan lain.

Katanya, Bahagian Penguatkuasaan Pejabat Kebajikan Masyarakat Negeri telah melakukan operasi di enam bazar Ramadan termasuk di Duyong, Ayer Molek, Semabok, Telok Mas, Masjid Tanah dan Pulau Sebang.

"Ada beberapa operasi yang kita jalankan tapi tiada tangkapan dan kita telah memberi amaran dan mengusir mereka," katanya.

Menurutnya, terdapat juga pengemis berulang dan pihaknya akan bersama agensi berkaitan untuk menjalankan operasi setiap kali menerima aduan.

"Kebanyakan aduan yang diterima berkaitan ketidakselesaan orang ramai dengan kehadiran pengemis selain bimbang keselamatan mereka," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28