'Pindaan kurangkan hak kewarganegaraan tidak boleh tergesa-gesa'

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sedang mengadakan siri penjelasan kepada ahli Parlimen berkaitan langkah kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung peruntukan hak kewarganegaraan kanak-kanak.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sedang mengadakan siri penjelasan kepada ahli Parlimen berkaitan langkah kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung peruntukan hak kewarganegaraan kanak-kanak.
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Hak Kewarganegaraan Malaysia (MCRA) menegaskan bahawa sebarang cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan yang mengurangkan atau mengambil hak kewarganegaraan sedia ada tidak boleh dilaksanakan tergesa-gesa.

MCRA dalam satu kenyataan berkata, pindaan itu memerlukan data yang kukuh dan pemahaman sepenuhnya mengenai akibat secara langsung serta dalam jangka panjang.

Menurutnya, penyelesaian untuk menangani isu-isu lama berkaitan dengan migrasi melalui sempadan yang tiada had terutamanya di bahagian Malaysia Timur perlu menyasarkan punca masalah tersebut.

“Ia termasuk kawalan sempadan lemah, pergantungan ekonomi terhadap buruh migran dan rasuah yang berleluasa.

“Meminda Perlembagaan Persekutuan untuk melucutkan hak anak-anak Malaysia tidak akan menyelesaikan masalah asas.

“Jika kerajaan sedang berusaha untuk memperkenalkan penyelesaian melalui penerbitan peraturan atau pekeliling pentadbiran, ia mesti didedahkan secara terbuka dan tertakluk kepada semakan serta kelulusan Parlimen,” katanya pada Jumaat.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan hasrat meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengukuhkan jaminan kewarganegaraan yang dilihat dieksploitasi oleh warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, warga asing yang datang ke Malaysia, melahirkan anak kemudian meninggalkan bayi mereka kerana mengetahui akan dijamin kewarganegaraan mengikut Seksyen 19B, Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

Tangkap layar kenyataan MCRA pada Jumaat.
Tangkap layar kenyataan MCRA pada Jumaat.

Mengulas lanjut, MCRA berkata, pihaknya teguh membantah cadangan pindaan regresif dan menantikan untuk melihat sebarang semakan yang mungkin dicadangkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada pindaan asalnya.

“Kami berharap KDN mengambil kira perkara dan cadangan yang telah dikemukakan termasuk mengekalkan dan meneruskan pindaan bagi ibu warganegara Malaysia untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

“Selain itu, mengekalkan Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua berkaitan dengan pemberian hak kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak-anak yang baru lahir dan tanpa kerakyatan.

“Kekalkan juga perlindungan Perlembagaan terhadap ketiadaan kerakyatan iaitu Seksyen 1(e) Bahagian II Jadual Kedua yang melindungi kanak-kanak termasuk mereka yang lahir anak luar nikah kepada lelaki Malaysia dan kanak-kanak tanpa kerakyatan yang diambil oleh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Tambah MCRA, KDN juga perlu mengekalkan perkataan bermastautin secara tetap dalam Seksyen 1(a) Bahagian II Jadual Kedua yang membenarkan anak pemastautin tetap mendapat kewarganegaraan Malaysia.