Pendakwaan fail bantahan awal permohonan Na'imah cabar pertuduhan

Na'imah
Na'imah
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pendakwaan mengemukakan bantahan awal di Mahkamah Sesyen di sini, minggu lalu, terhadap permohonan isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Na'imah Abdul Khalid untuk mencabar pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dikenakan terhadapnya.

Afidavit balasan berkenaan diikrarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Maziah Mohaide pada 10 Mac lalu.

Berdasarkan notis tersebut, beliau menegaskan bahawa, tiada keperluan untuk mahkamah untuk merujuk persoalan perlembagaan yang dibangkitkan oleh Na'imah selaku pemohon kepada Mahkamah Tinggi.

Menurutnya, ini kerana permohonan pemohon tidak bermerit kerana persoalan yang dibangkitkan bukanlah merupakan satu isu perlembagaan dan/atau melanggar mana-mana perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Hak seseorang untuk dilindungi daripada membabitkan dirinya sendiri dengan suatu kesalahan bukanlah merupakan suatu hak mutlak di bawah undang-undang dan bukan hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Seksyen 36 Akta SPRM 2009 adalah merupakan peruntukan yang memberi kuasa kepada pegawai untuk memperoleh maklumat bagi tujuan siasatan malah peruntukan subsekyen 36(2) akta sama juga adalah merupakan ‘proviso’,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan ini juga tidak melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan kerana apabila pemohon diberikan notis di bawah seksyen itu, pemohon belum ditangkap dan/atau ditahan.

Oleh itu, beliau berkata, isu berlakunya pelanggaran perkara lima Perlembagaan Persekutuan sebelum perbicaraan adalah pramatang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia tidak melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan kerana seksyen itu tidak hanya terpakai kepada pemohon sahaja, tetapi orang lain yang dikemukakan dengan notis sama mengikut prosedur serupa, tanpa sebarang diskriminasi.

“Pemohon dilayan sama rata di sisi undang-undang dan tiada diskriminasi terhadapnya apabila dia diperintahkan untuk mematuhi notis di bawah seksyen itu.

“Tindakan pegawai suruhanjaya tersebut adalah sama seperti orang lain yang disiasat di bawah Akta SPRM 2009,” katanya.

Pada 29 Februari lalu, Na'imah memfailkan permohonan bagi merujuk persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya di bawah Akta SPRM 2009.

Menerusi notis usul yang difailkan di bawah Seksyen 30(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Na’imah memohon Mahkamah Sesyen memberikan suatu perintah untuk merujuk soalan mengenai kesan peruntukan Perlembagaan Persekutuan kepada Mahkamah Tinggi.

Persoalan itu ialah sama ada Seksyen 30(5) dan 36(2) Akta SPRM 2009 melanggar hak seseorang untuk dilindungi daripada membabitkan diri dengan suatu kesalahan serta hak untuk tidak dipaksa memberikan keterangan dalam suatu kesalahan dan yang akan digunakan dalam prosiding terhadapnya serta atau hak untuk suatu perbicaraan adil.

Beliau juga memohon mahkamah menentukan sama ada ia melanggar Perkara 5 (kebebasan diri) serta Perkara 8 (perlindungan sama rata di sisi undang-undang) Perlembagaan Persekutuan dan seterusnya menjadikannya tidak berperlembagaan serta terbatal.

Na’imah turut memohon supaya prosiding di Mahkamah Sesyen berhubung pertuduhan terhadap beliau ditangguhkan sehingga permohonan itu didengar dan diputuskan serta perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Susulan itu, Hakim, Azura Alwi menetapkan pada 21 Mei ini untuk mendengar permohonan Na’imah ini sementara 9 Mei pula bagi sebutan permohonan hampir sama yang difailkan suaminya, Tun Daim Zainuddin, 86.

Sementara itu, mahkamah menetapkan pada 29 Mei untuk pendakwaan menyerahkan baki dokumen bagi pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapi Daim dan Na’imah.

Pada 23 Januari lepas, Na’imah, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham serta beberapa hartanah sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu tidak mengisytiharkan harta.

Harta terbabit ialah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz, sebuah rumah di Persiaran Bukit Tunku, empat lot tanah di Bukit Tunku dan satu lot tanah masing-masing di Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail di sini.

Na’imah didakwa melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 13 Disember 2023 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28