'Dulu sebesar satu bola golf, sekarang sebesar tiga bola golf'

Mohd Asna melawat Muhammad Nasrullah di rumahnya.
Mohd Asna melawat Muhammad Nasrullah di rumahnya.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pemuda tidak menyangka bengkak sebesar bola golf pada bahagian testis sebelah kanannya rupa-rupanya tanda dia menghidap kanser testis tahap 4, dua tahun lalu.

Meskipun telah menjalani pembedahan bagi membuang bengkak tersebut, namun ia kembali semula dan kali ini besarnya tiga kali bola golf.

Disebabkan itu, Muhammad Nasrullah Norhisham, 25, yang dahulunya aktif kini hanya mampu duduk di rumah dan terpaksa mengharapkan ibunya Siti Hajar Ishak, 51 untuk menguruskan diri.

Ia berikutan dia tidak mampu lagi bergerak seperti biasa dan jika terlalu lasak akan berlaku pendarahan pada bahagian testisnya.

Menceritakan berkenaan sakitnya itu, anak kedua dari tiga beradik itu berkata, dia pada mulanya menyangka bengkak tersebut kerana penyakit angin pasang.

Siti Hajar menunjukkan pelapik yang perlu diletakkan pada lampin buang Muhammad Nasrullah bagi mengelakkan air pada bengkak testisnya mengalir.
Siti Hajar menunjukkan pelapik yang perlu diletakkan pada lampin buang Muhammad Nasrullah bagi mengelakkan air pada bengkak testisnya mengalir.

"Awalnya saya tak rasa sakit pun, tapi bila lama kelamaan ia semakin membengkak dan telah ke klinik membuat pemeriksaan.

"Saya kemudian diminta rujuk ke hospital untuk membuat imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan terkejut apabila dimaklumkan saya kena kanser tahap 4," katanya ditemui pemberita di rumahnya di Taman Desa Klana di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Dia mengakui, pada awalnya bukan mudah untuk menerima berita tersebut ditambah pula dirinya yang masih muda, namun dia akhirnya memilih untuk berdamai dengan takdir.

Katanya, dia mengharapkan keajaiban untuk kesihatannya itu kerana tidak mahu berterusan menyusahkan keluarga.

"Doktor cakap kanser testis ini cepat merebak, tapi ada peluang untuk pulih dan bergantung kepada keadaan.

"Saya berserah saja sekarang. Cuma saya kesiankan ibu kerana perlu menjaga saya.

"Saya nak berjalan pun susah kerana bahagian testis itu membengkak dan jika lasak sikit ia mudah berlaku pendarahan," katanya.

Muhammad Nasrullah menceritakan besar bengkak yang dialami pada testisnya.
Muhammad Nasrullah menceritakan besar bengkak yang dialami pada testisnya.

Dia yang dahulunya bekerja sebagai penghantar barang berkata, bersyukur kerana mendapat bantuan lampin pakai buang dan susu khas daripada Institut Kanser Negara.

Katanya, dengan bantuan itu setidak-tidaknya dapat membantu meringankan beban keluarganya untuk menguruskannya.

"Saya tiada kos untuk beli ubat. Cumanya perlu kos beli peralatan membersih luka. Ibu dan adik beradiklah yang membantu," katanya.

Sementara itu, Siti Hajar yang sudah 32 tahun bekerja kilang terpaksa membuat keputusan berhenti bagi memberi sepenuh perhatian kepada Muhammad Nasrullah.

"Sebelum ini menantu perempuan saya yang jaga dia di rumah. Tapi sejak dia mula bekerja, saya terpaksalah berkorban kerana jika tidak, siapa yang akan menjaga Nasrullah.

"Sebagai ibu, sememangnya saya sedih mengenang ujian kesakitan yang anak saya terpaksa tanggung, tapi saya reda dengan ketentuan ALLAH," katanya.

Terdahulu, Muhammad Nasrullah turut menerima kunjungan dan bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28